AM > BERITA

HUKUMAN TEGAS PERLU BENDUNG SERANGAN SIBER - PENGANALISIS

25/07/2024 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Penguatkuasaan serta hukuman tegas terhadap individu yang melakukan serangan siber perlu dikuatkuasakan bagi membendung situasi itu daripada terus berleluasa.

Penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berpendapat bahawa perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan jenayah siber di negara ini amat serius dan semakin rumit.

“Negara ada undang-undang, peraturan dan hukuman namun jika penguatkuasaan tidak dijalankan dengan serius, ancaman kepada negara akan terus berlaku. Akta Keselamatan Siber diwujudkan dan masih baharu, jadi saya tidak nampak secara serius kita menggunakan akta tersebut.

“Penguatkuasaan itu tidak begitu dipraktikkan. Mereka kena buat siasatan, tangkap dan dakwa mereka yang akses dan godam data...mereka bimbang kita serius kendali akta ini. Semak semula prosedur operasi standard (SOP) yang ada supaya tepat dan betul sebab mahu buktikan serangan siber ini bukan mudah dan perlu banyak spesifikasi dalam siasatan,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Beliau menegaskan agar perkara (undang-undang) itu dilihat semula sama ada sudah memadai atau perlu ditambah baik bagi menjadi satu akta yang benar-benar mampu menangani serangan siber.

“Kita perlu lakukan siasatan secara serius dan mendakwa pelaku dengan tuduhan lebih berat, jika ada kelemahan dalam penguatkuasaan mungkin boleh menukar seksyen serta hukuman kepada pelaku.

“Sebagai contoh baru-baru ini, netizen tidak puas hati terhadap hukuman denda maksimum RM100 yang dikenakan kepada seorang pemilik rumah kebajikan atas pertuduhan dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menyebabkan kematian seorang pempengaruh. Hal ini kerana ia melibatkan maruah orang dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengesyorkan agar pendidikan kepada pengguna media sosial diaplikasikan bagi mendidik golongan itu mengendali atau mengenali penipuan serta ancaman siber.

“Kita perlu mendidik pengguna tentang amalan keselamatan terbaik. Pendidikan ini perlu diberi dahulu jika tidak, pengguna media sosial akan bebas menggunakan platform itu tanpa batasan.

“Anak-anak kecil sudah pandai main telefon, mereka bijak dan boleh akses mana-mana laman web, jadi pendidikan perlu hadir dari rumah melalui ibu bapa baru lah ke peringkat sekolah dan sebagainya.

“Termasuklah jenayah scam, orang Malaysia mudah terpedaya, merayu sikit terus serahkan apa yang ada. Hati-hati dalam menggunakan media sosial jika ada orang yang tidak dikenali, terus hentikan perbualan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan