AM > BERITA

PINDAAN AKTA AUDIT BERI IMPAK POSITIF SKOP PENGAUDITAN PENGURUSAN WANG AWAM

25/07/2024 11:57 AM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam di samping memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak.

Ia termasuk kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam.

Jabatan Audit Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan pindaan Akta 62 melibatkan lima prinsip pindaan berkaitan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan kepada peruntukan sedia ada seperti pengauditan badan lain termasuk syarikat yang kerajaan mempunyai kepenting dalam bentuk jaminan kewangan dan  pengauditan melalui pendekatan Follow The Public Money Audit.

“Ia juga melibatkan pewujudan suatu peruntukan baharu mengenai kuasa Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang perlu dan suai manfaat bagi menjalankan peruntukan Akta 62 dan memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk membuat syor menangani apa-apa ketidakteraturan serius yang telah berlaku dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam atau simpanan awam di bawah pengauditannya,” menurut kenyataan itu.

Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 yang terletak di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri itu diluluskan sebulat suara di Dewan Negara semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran ketika menggulung perbahasan RUU Audit (Pindaan) 2024 berkata ia bertujuan mengukuhkan akta melalui peruntukan baharu selaras dengan keperluan kehendak semasa dan peluasan bidang tugas Ketua Audit Negara.

Untuk rekod, Akta 62 telah dipinda sebanyak dua kali iaitu pada 1978 dan 1991.

Pindaan pada 1978 berhubung keperluan pengauditan prestasi yang menekankan aspek ekonomi, kecekapan dan keberkesanan di bawah perenggan 6(d) Akta 62 manakala pindaan pada 1991 bertujuan memperuntukkan kuasa untuk meminda Jadual di bawah Seksyen 11 Akta 62.

Jabatan Audit Negara turut merakamkan perhargaan kepada 21 Ahli Dewan Negara yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Audit (Pindaan) 2024 dengan memberi syor dan pandangan demi kepentingan negara berkaitan pengurusan wang awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan