AM > BERITA

KPKT SALUR RM63 JUTA KEPADA 26 PBT SABAH TAHUN INI

25/07/2024 02:57 PM

PUTATAN, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan RM63.3 juta kepada semua 26 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah tahun ini, kata Menteri berkenaan Nga Kor Ming.

Beliau berkata peruntukan itu adalah untuk melaksanakan projek-projek kecil di kawasan PBT meliputi skop projek infrastruktur, kemudahan awam, sosio ekonomi dan keselamatan.

Nga berkata usaha ini adalah seiring dengan komitmen kementeriannya untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi dan kesejahteraan rakyat di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan PBT khususnya di Sabah.

"Di bawah peruntukan inisiatif Belanjawan 2024 oleh Kementerian Kewangan, RM14.1 juta juga diperuntukkan untuk semua PBT di Sabah melibatkan projek menaik taraf sistem perparitan dan pasar awam serta menyelenggara kolam takungan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Tamu Putatan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri dan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.

Pada majlis itu, Nga menyaksikan penyerahan projek tapak Tamu Putatan bernilai RM10 juta yang menyediakan 239 lot untuk peniaga antara Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Pengerusi Majlis Daerah Putatan Masawi Salleh.

Mengulas lanjut, Nga berkata KPKT turut memberi fokus kepada projek-projek menaik taraf tandas awam, pasar awam yang uzur dan gerai MADANI serta membina kiosk-kiosk perniagaan baharu pada tahun ini.

Beliau berkata ini sekali gus jelas membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan Sabah melalui peruntukan diluluskan meliputi pelbagai agensi dan jabatan di bawah kementeriannya.

"Selain peruntukan pembangunan, KPKT turut menyalurkan peruntukan mengurus kepada 26 PBT di Sabah setiap tahun melalui pemberian geran tahunan untuk membantu tadbir urus PBT.

"Ini termasuk pembayaran Sumbangan Membantu Kadar iaitu sebagai gantian Cukai Taksiran bagi harta-harta kerajaan Persekutuan di kawasan PBT dan Bantuan Bayaran Bil Elektrik yang meliputi bayaran lampu jalan dan lampu isyarat di kawasan PBT," katanya.

Nga berkata sebanyak RM85.32 juta peruntukan mengurus telah disalurkan kepada Sabah tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan