AM > BERITA

TAMU PUTATAN TAMATKAN PENANTIAN PENIAGA KECIL MILIKI TAPAK PERNIAGAAN BAHARU

25/07/2024 04:39 PM

PUTATAN, 25 Julai (Bernama) -- Penantian hampir empat tahun peniaga kecil sekitar daerah ini untuk memiliki kemudahan pasar tamu lebih selesa bakal berakhir apabila mereka akan dipindahkan ke lokasi tapak baharu Tamu Putatan tidak lama lagi.

Projek melibatkan kerja-kerja membina semula pasar tamu di atas tapak baharu melibatkan kos keseluruhan RM10 juta itu siap sepenuhnya pada 1 Dis tahun lepas dengan pembinaan mengambil masa tiga tahun dua bulan.

Sebanyak 239 lot niaga disediakan merangkumi 24 gerai basah (gerai ikan, makanan laut, ayam dan daging), 36 gerai separa kering (sayur dan buah), 172 tapak peniaga sementara serta tujuh gerai makan.

Peniaga makanan Talhata Laurun, 58, berpuas hati melihat suasana baharu serta kemudahan perniagaan disediakan di pasar tamu itu dan menyifatkan ia amat sesuai, teratur dan selesa.

"Saya berharap ramai pengunjung datang ke sini supaya kami dapat meningkatkan pendapatan," katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Penyerahan Projek Tamu Putatan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyaksikan penyerahan projek tapak tamu berkenaan antara Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Pengerusi Majlis Daerah Putatan Masawi Salleh.

Mengulas lanjut, Talhata yang berniaga makanan sejak 20 tahun lepas berkata dia bersetuju dipindahkan ke lokasi baharu itu dengan harapan ia akan menjadi lokasi kekal untuk para peniaga memandangkan mereka sering berpindah-randah sebelum ini.

Penjual sayur Theresa Ajin, 63, juga berpuas hati dengan keadaan kemudahan pasar tamu baharu itu kerana tamu sementara sekarang ini terbuka dan menyebabkan para peniaga terdedah dengan cuaca panas dan hujan. 

Theresa juga berharap pihak berkaitan dapat menyediakan lebih banyak tempat letak kereta untuk kemudahan pengunjung.

Sementara itu, Nga ketika berucap pada majlis itu berkata projek tersebut amat penting bagi menggantikan tapak tamu sedia ada dengan kemudahan baharu lebih selesa, selain mesra peniaga dan pengguna bagi kemudahan aktiviti perniagaan serta meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

"Dengan adanya kemudahan baharu yang lebih teratur, luas dan kondusif ini, diharap para peniaga dan pengunjung mendapat manfaat sewajarnya.

"Harapan saya juga agar Majlis Daerah Putatan dapat menjaga sebaik mungkin segala kemudahan disediakan di pasar ini untuk keselesaan dan menjana ekonomi penduduk setempat selain memastikan para peniaga segera diisi serta mengenakan kadar sewa yang berpatutan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan