AM > BERITA

AEON METERAI PERJANJIAN KOLEKTIF PERTAMA DENGAN KESATUAN PEKERJA

25/07/2024 04:58 PM

SHAH ALAM, 25 Julai (Bernama) -- AEON Co. (M) Bhd. (AEON) hari ini memeterai Perjanjian Kolektif Pertama dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON untuk menjamin kebajikan lebih 10,000 pekerja yang bernaung di bawah syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka itu.

Perjanjian kolektif bersejarah yang disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Steven Sim Chee Keong itu ditandatangani Timbalan Pengarah Urusan AEON Tsugutoshi Seko, Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON Dr. Kasuma Satria Mat Jadi serta Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON Hamidah Mohamad dan Setiausaha Agung Muhammad Fadhli Muhammad Zamsuri.

Hadir sama Pengarah Urusan AEON Naoya Okada dan Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.

Perjanjian itu, antara lain bakal menyaksikan semua pekerja di gred G1, G2, G3 dan J1 seperti ketua operasi, pembantu jualan, juruwang, tukang roti dan lain-lain jawatan mendapat faedah insuran, tuntutan cuti dan bonus selain pelarasan gaji, kadar minimum kenaikan gaji tahunan serta cuti keagamaan bagi pekerja yang berkhidmat 15 tahun dan ke atas.

Sim dalam ucapannya berkata perjanjian kolektif dimeterai itu yang pertama dilaksanakan oleh majikan dan kesatuan di bawah kategori peruncitan, satu usaha mencerminkan dedikasi kedua-dua pihak dalam memastikan kebajikan para pekerja terbela.

Beliau berkata perjanjian kolektif pertama 2024-2026 berdasarkan konsep perkongsian bijak antara majikan dan pekerja itu, amat penting bagi memastikan kelangsungan keberhasilan perusahaan atau ekonomi selain menjamin kestabilan sosial apabila pihak berkepentingan dapat duduk bersama dan berunding.

"Melalui perundingan kolektif ini dapat dilihat akan elemen co-determination iaitu wujudnya penglibatan pekerja dan majikan dalam proses pembuatan keputusan yang boleh dianggap sebagai situasi menang-menang.

"Perjanjian ini juga pasti memberi manfaat kewangan dan bukan kewangan serta menambah baik keadaan pekerjaan selaras aspirasi ekonomi MADANI yang menyasarkan pendapatan yang adil demi kualiti hidup bermakna dan persekitaran kerja yang melindungi hak asasi manusia," katanya.

Sim berkata Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON juga diberikan geran di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) sebanyak RM18,000 bagi membantu kesatuan memantapkan pengurusan dan merancakkan aktiviti masing-masing.

Sementara itu, Naoya berkata perjanjian berkenaan satu lagi pencapaian penting buat syarikat selain bertepatan dengan ulang tahun ke-40 AEON tahun ini. 

"Inisiatif AEON dalam melaksanakan perjanjian itu juga membuktikan AEON ialah majikan yang bertanggungjawab menyediakan persekitaran kerja inklusif serta syarikat akan terus memberi tumpuan kepada latihan dan pembangunan pekerja, memastikan persekitaran yang selamat dan berkembang maju untuk semua," katanya.

Sementara itu, Dr. Kasuma Satria berkata untuk terus berdaya saing dalam industri peruncitan negara, AEON tidak akan meminggirkan soal kebajikan para pekerja yang menjadi aset paling bernilai serta percaya penubuhan Kesatuan Pekerja AEON yang lahir atas konsep perkongsian pintar akan mengukuhkan lagi prestasi syarikat.

Beliau berkata perjanjian kolektif yang ditandatangani akan membentuk persefahaman lebih kukuh antara majikan dan pekerja sekali gus menggalakkan kerjasama serta sokongan lebih baik untuk mencapai usaha AEON menjadi syarikat peruncitan Malaysia yang menawarkan pengalaman membeli-belah istimewa kepada setiap pelanggan.

“AEON sentiasa mempraktikkan amalan sumber manusia yang berkesan yakni setiap warganya akan berpeluang menikmati proses pembangunan kerjaya bermula dari awal pekerjaan hingga selepas persaraan mereka, tidak terkecuali dalam aspek menjaga kebajikan dan kesejahteraan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan