AM > BERITA

PULAU PINANG TUAI 1.3 TAN BAWANG DITANAM SENDIRI

25/07/2024 05:17 PM

KEPALA BATAS, 25 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang menjadi negeri kedua menanam bawang sendiri selepas Perak melalui projek tanaman bawang di Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini yang mula dipasarkan dalam komuniti terutama di pasar malam.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol berkata projek di tanah berkeluasan 0.4 hektar itu dijalankan melalui kerjasama Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dan sebuah syarikat swasta iaitu Vitrox Agritech.

"Bagi penuaian fasa pertama, iaitu selepas tiga bulan bawang-bawang itu ditanam, kami berjaya menuai sebanyak 1.3 tan bawang dan dijual di pasar malam sekitar serta kawasan berdekatan supaya pengguna boleh mendapatkannya dengan harga berpatutan.

"Sekarang ini, proses penanaman telah masuk musim kedua dan kami tambah baik beberapa perkara termasuk menggunakan teknologi supaya ia dapat dituai dengan hasil yang lebih tinggi dalam tempoh dua bulan berbanding tiga bulan sebelum ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata projek penanaman bawang itu adalah projek perintis dalam usaha menangani isu keterjaminan bekalan bawang yang banyak digunakan dalam masakan di Malaysia.

Fahmi berkata benih bawang jenis rose iaitu antara bawang terbaik dunia disediakan oleh pihak MARDI untuk tanaman bawang di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau berkata harga jualan bawang itu bermula RM5 sekilogram dan setakat ini mendapat permintaan yang baik daripada pengguna.

Pihaknya juga berharap projek penanaman bawang itu dapat diperluaskan supaya pengguna mendapat bekalan dan dalam masa sama petani dapat menambah pendapatan.

"Sebenarnya bawang itu setanding yang kita import, kadang-kadang kita takut rasa tak sama, tapi bila dah rasa, ia setanding bawang import, cuma sekarang ini kekangan kita ialah cuaca, panas tu cukup panas tetapi negara kita ada banyak hujan, itu yang menjadi masalah," katanya.

Beliau berkata penanaman bawang memerlukan cuaca yang panas dan tanaman itu juga 'sensitif' kepada hujan lebat, justeru ia terpaksa ditanam di bawah bumbung plastik.

Fahmi juga berharap agar lebih ramai petani tampil bekerjasama dengan MARDI dan Jabatan Pertanian Negeri untuk memperluaskan tanaman bawang di daerah-daerah lain di Pulau Pinang supaya tidak hanya bergantung kepada bawang import sahaja.

Dari segi rasa dan bau, Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu yakin bawang Pulau Pinang mempunyai potensi besar di negeri ini.

Pada April lepas, Perak menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya menuai bawang tempatan jenis BW1 dengan berat hasil sekitar 2.3 tan metrik di Kampung Ladang Bikam, Tanjung Malim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan