AM > BERITA

MINDEF GERAK SEIRING PERKEMBANGAN TEKNOLOGI, PERKUKUH KESELAMATAN SIBER

25/07/2024 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa dalam usaha memperkukuh aspek keselamatan negara termasuk melibatkan serangan siber.

 Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata serangan atau ancaman bukan tradisional dalam bidang pertahanan itu sering berlaku, namun kementerian sentiasa bersiap sedia bagi membendung perkara terbabit.

“Tidak wajar ada jurang dalam menjayakan pertahanan kita. Perkara penting ialah kita perlu ada kekuatan dan kemampuan untuk menanganinya (ancaman siber).

“Kita memang beri perhatian dan fokus untuk mempertingkatkan pertahanan kerana teknologi berubah dan membangun dengan begitu pantas sekali … kita kena keep pace,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd di sini hari ini.

Pada Mac lepas, Mohamed Khaled dilaporkan berkata sistem pertahanan negara menerima kira-kira 3,000 serangan siber setiap hari, khususnya selepas Malaysia menyatakan sokongan terhadap Palestin.

Beliau berkata serangan melibatkan pelbagai pihak berkenaan bukan sahaja bertujuan mengintip pergerakan Malaysia terhadap konflik yang berlaku di Gaza, malah mereka turut menggodam sistem pertahanan negara.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata beliau sudah menerima makluman daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi prosiding Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mac lepas.

“Saya dah terima undangan PAC. Ya saya akan hadir,” katanya.

Pada 17 Julai, Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata akan memanggil Mohamed Khaled dan tiga bekas ahli pengurusan tertinggi LTAT sebagai saksi pada prosiding LTAT yang seterusnya pada Ogos depan.

Tiga bekas pengurusan tertinggi LTAT itu ialah bekas pengerusi Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas ketua pegawai eksekutif Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan bekas pengarah kanan strategi Dayana Rogayah Omar.

Prosiding LTAT dijadualkan bersambung pada 7 Ogos depan setelah PAC mengadakan prosiding pertama pada 20 Jun lepas.

Prosiding itu bagi mendapatkan penjelasan susulan pendedahan rizab kewangan agensi terbabit yang negatif seperti dilaporkan dalam LKAN Mac lepas.

LKAN mendedahkan LTAT tidak membuat penjelasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiarinya berjumlah RM812 juta membabitkan Boustead Holdings Bhd (RM768 juta) dan Pharmaniaga Bhd (RM44 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan