AM > BERITA

PELAN TINDAKAN KESIHATAN PLANET NEGARA SEDANG DIRANGKA

25/07/2024 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) bertujuan mengintegrasikan kesihatan planet ke dasar kebangsaan bagi memastikan pendekatan holistik terhadap kelestarian kini sedang dirangka.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata PTKPN adalah pelan berorientasikan misi yang menggunakan pendekatan menyeluruh Malaysia dalam memastikan kesihatan rakyat, biodiversiti (flora dan fauna) dan planet.

“Malaysia komited untuk mencapai sasaran kelestarian melalui beberapa dasar dan pelan hala tuju negara yang mendorong langkah-langkah dasar dan tindakan bagi mengurangkan pelepasan karbon, mempercepatkan penggunaan teknologi tenaga boleh ubah dan meningkatkan pemuliharaan alam sekitar.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berbesar hati melihat Akademi Sains Malaysia (ASM) mengambil pendekatan proaktif untuk mengarusperdanakan kesihatan planet dalam landskap Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara, sekali gus membawa kepada keharmonian antara manusia dan sistem semula jadi untuk kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog Kesihatan Planet Kebangsaan: Kesalinghubungan Manusia, Planet dan Kemakmuran di sini hari ini yang menghimpunkan wakil kerajaan, industri, ahli akademik  dan masyarakat sivil untuk mendapatkan input dan cadangan bagi meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam usaha global untuk kesihatan planet.

Chang berkata konsep kesihatan planet berasal daripada pemahaman bahawa kesihatan manusia dan tamadun bergantung kepada kesihatan sistem semula jadi.

Justeru, katanya Majlis Sains Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri telah memandatkan MOSTI dan ASM untuk membentuk integerasi PTKPN pada 2022.

Beliau berkata komitmen MOSTI merangkumi pelaksanaan Lima Pelan Hala Tuju Teknologi Negara yang memberi fokus kepada sektor-sektor kritikal kepada kesihatan planet seperti teknologi hijau, elektrik dan elektronik, teknologi makanan, teknologi pengangkutan dan perkhidmatan kesihatan.

“Melalui pembangunan dan penggunaan teknologi yang mengurangkan impak alam sekitar, kami secara proaktif menangani isu perubahan iklim, mempromosikan amalan pertanian lestari dan memajukan penyelesaian pengangkutan mesra alam,” katanya.

Menurut Chang usaha itu bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan jejak karbon Malaysia, malah meningkatkan hasil kesihatan awam dan memastikan keselamatan makanan.

Chang berkata usul nilai PTKPN terletak pada kemampuannya untuk memupuk kerjasama merentasi pelbagai sektor, mengintegrasikan pengetahuan tradisional dan moden serta menyediakan rangka kerja sistem penjejakan berimpak dan rangka kerja pangkalan data genomik alam sekitar bertujuan memastikan planet yang sihat dan kualiti hidup lebih baik untuk semua.

Dalam pada itu, beliau berkata Dialog Kesihatan Planet Kebangsaan penting untuk membincangkan kesihatan planet dan tanggungjawab kolektif dalam memastikan kemampanannya dengan semua pihak berkepentingan ke arah pelaksanaan PTKPN.

Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu berkata sains pascanormal berasaskan kepada satu set norma yang mencerminkan realiti perlu dibangunkan bagi menangani kesihatan planet dengan berkesan dan lebih arif.

“Sains pascanormal akan menjadi sebahagian daripada sistem pengetahuan manusia yang bersepadu.  Pengetahuan holistik amat diperlukan untuk mewujudkan idea baharu mengenai pembangunan dan kemajuan masyarakat manusia. Selepas itu, barulah kita boleh berharap untuk membangun secara harmoni dengan alam semula jadi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PTKPN Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail ketika ditemui berkata pelan itu antara lain bertujuan mewujudkan perubahan minda dalam kalangan rakyat mengenai kesihatan planet dan kesannya serta menyepadukan pelan tindakan secara holistik.

“Kesihatan planet saling berkait dengan kesihatan manusia. Ia bukan hanya tentang menjaga alam sekitar tetapi memahami bahawa planet yang sihat akan memastikan kesihatan manusia dan bukan sebaliknya.

“...perjalanan (untuk pelaksanaan PTKPN) tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata kerana kita perlu mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan organisasi tentang kesihatan planet. Ini memerlukan masa dan cara yang betul untuk mendidik orang ramai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan