AM > BERITA

LANGKAH PROAKTIF, STRATEGIK TERUS DILAKSANA ATASI ANCAMAN KESELAMATAN DI SABAH

25/07/2024 06:26 PM

KOTA KINABALU, 25 Julai (Bernama) -- Langkah proaktif dan strategik akan terus dilaksanakan bagi memelihara kedaulatan, mencegah dan membanteras ancaman keselamatan di Sabah terutamanya di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya menyokong inisiatif penambahbaikan infrastruktur, aset, sumber manusia dan keperluan agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pertahanan bagi memastikan tahap kebolehoperasian dan kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi.

Beliau berkata kerajaan negeri komited memastikan situasi keselamatan di sempadan maritim meliputi kawasan gugusan kepulauan, pesisiran dan sungai serta sempadan daratan khususnya di ESS Zone dalam keadaan baik dan terkawal.

“Ini kerana keluasan maritim yang besar di Sabah merupakan penyumbang kepada penjanaan kemakmuran ekonomi kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hajiji dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone Bilangan 1, Tahun 2024 di Menara Kinabalu di sini.

Kedua-dua mereka turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bilangan 1, Tahun 2024.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama strategik antara kerajaan Sabah dan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) penting untuk menjamin keselamatan di negeri itu.

Menurut Hajiji, penyelarasan yang jitu antara kerajaan negeri dan KDN melalui semua agensi di bawahnya seperti Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sentiasa digembleng bagi menangani isu keselamatan.

“Kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan melalui KDN amat diperlukan bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi Sabah dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan