AM > BERITA

MALAYSIA TERBUKA BINCANG ISU PALESTIN - MOHAMAD HASAN

25/07/2024 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Malaysia sentiasa terbuka untuk membincangkan isu Palestin dengan mana-mana pihak meskipun mengambil pendirian yang tegas dan tidak sehaluan dengan negara barat seperti Amerika Syarikat.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pendekatan Malaysia yang inklusif terbukti diterima baik sekali gus memantapkan lagi hubungan dua hala dengan negara-negara barat.

Merujuk Persidangan Peringkat Tinggi Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza di Jordan pada 11 Jun lepas, Mohamad berkata beliau sempat bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken yang telah menzahirkan sokongan negara itu terharap Kepusatan ASEAN.

“Blinken turut menyatakan penghargaan kepada sokongan Malaysia terhadap Resolusi 2735 (2024) yang diusulkan oleh Amerika Syarikat.

"Resolusi itu berdasarkan cadangan tiga fasa yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat iaitu gencatan senjata dengan segera, kekal dan berkesan; pembebasan tawanan oleh kedua-dua pihak dan usaha ke arah menamatkan permusuhan secara kekal serta rancangan pembinaan semula yang komprehensif untuk Palestin," katanya dalam jawapan lisan di Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Noraini Idris yang ingin tahu bagaimana Malaysia berfungsi sebagai ‘ejen pendamai konflik global’ berkredibiliti yang berupaya mengekalkan prinsip kemanusiaan antikezaliman tanpa menjejaskan hubungan dagang dan diplomatik dengan negara-negara barat yang berkeupayaan tinggi dalam penguasaan ekonomi serta teknologi ketenteraan.

Mohamad berkata pendekatan inklusif Malaysia telah memantapkan hubungan dua hala dengan barat yang ditunjukkan melalui peningkatan pertemuan dan pertukaran lawatan di peringkat tertinggi kerajaan sekali gus mengukuhkan lagi jalinan kerjasama politik serta ekonomi antara Malaysia dengan negara terbabit.

Beliau juga berkata antara platform yang Malaysia manfaatkan sebagai ejen pendamai konflik global ialah melalui Institut ASEAN Mengenai Keamanan dan Perdamaian (ASEAN-IPR). 

Institut itu bertindak sebagai ejen keamanan terhadap konflik global dengan menjalankan penyelidikan komprehensif mengenai penyelesaian keamanan dan konflik, membina kapasiti melalui program latihan, memudahkan dialog, pengantaraan dan mediasi dalam kalangan pihak berkonflik serta meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan keamanan.

"Malaysia akan terus memanfaatkan platform ini melalui Wakil Malaysia ke Lembaga Penasihat serta Wakil Malaysia ke Majlis Pentadbiran ke ASEAN-IPR untuk menyuarakan pendirian negara dalam semua perbincangan berkaitan isu pendamaian dan pencegahan konflik," katanya.

Justeru itu, Mohamad berharap Malaysia dapat menyumbang kepada kestabilan serantau dan memperkukuh inisiatif pembinaan keamanan di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan