AM > BERITA

KPJ HEALTHCARE PERKENAL NILAI BERSAMA BAHARU, PACU TRANSFORMASI BUDAYA

25/07/2024 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad hari ini memperkenalkan nilai bersama baharu kepada semua warganya yang menekankan budaya kerja mengutamakan pesakit selain memacu fokus kecemerlangan untuk menjadi organisasi berprestasi tinggi.

Kenyataan KPJ Healthcare Berhad memaklumkan nilai bersama baharu untuk memupuk transformasi budaya kerja cemerlang itu dikenali dengan akronim C.A.R.E.

C.A.R.E membawa erti Komited iaitu berdedikasi untuk mencapai matlamat dan visi bersama; Bertanggungjawab iaitu bertindak dengan penuh integriti dan beretika ketika bekerja; Hormat-Menghormati iaitu berbudi bahasa dalam menghargai kepelbagaian secara berhemah serta Cemerlang iaitu memberikan kualiti dan prestasi yang luar biasa.

“Penerapan nilai-nilai ini adalah bagi membentuk tingkah laku dan budaya yang ingin dipupuk oleh KPJ Healthcare sekali gus menjadi teras utama dalam mencapai matlamat menjadi penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan pilihan utama pesakit,” katanya. 

Baru-baru ini, KPJ Healthcare telah melaksanakan pelan perjalanan transformasi berdasarkan lima tonggak inisiatif utama iaitu pengoptimuman aset, sumber pertumbuhan baharu, pengutamaan digital, penjenamaan semual dan transformasi budaya.

“Tiga inisiatif yang pertama sedang berjalan seperti dirancang manakala pelan inisiatif untuk penjenamaan semula dan transformasi budaya akan dilaksana pad separuh kedua 2024. KPJ Healthcare kini bersedia untuk melancarkan jenama baharu pada 6 Ogos 2024 sekali gus melambangkan komitmen yang diperbaharui terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam sektor penjagaan kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Chin Keat Chyuan berkata nilai bersama baharu yang diperkenal mencerminkan dedikasi mereka dalam menyediakan penjagaan cemerlang yang mengutamakan pesakit dan memupuk tempat kerja yang inklusif dan inovatif.

"Ia juga merupakan sebahagian daripada proses pengurusan perubahan kami. Selain memberi keazaman untuk menjadi sebuah organisasi berprestasi tinggi, acara pada hari ini juga amat penting buat warga KPJ untuk bersama-sama dalam meniti perjalanan ini,” katanya. 

Bagi memastikan nilai-nilai ini diterapkan di seluruh organisasi, KPJ Healthcare akan melancarkan program latihan yang disasarkan khusus untuk barisan pengurusan dan seluruh warga kerja yang memfokus kepada meningkatkan kemahiran dalam penjagaan pesakit, kerja berpasukan, kepimpinan dan menyelesaikan masalah secara beretika.

KPJ Healthcare turut membuat perubahan pada sistem dan prosesnya untuk menyokong nilai-nilai tersebut termasuk memperkenal sistem perisian canggih seperti Workday bagi sistem sumber manusia, ARIBA untuk sistem perolehan dan nHIS untuk sistem maklumat penjagaan kesihatan dalam usaha menyelaras operasi, meningkatkan ketelusan dan kerjasama dalam organisasi.

KPJ Healthcare juga memperkenal standard prestasi baharu untuk mengiktiraf dan memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan bagi mewujudkan tenaga kerja yang bermotivasi serta berprestasi tinggi dalam memastikan ia sentiasa Komited, Bertanggungjawab, Hormat-Menghormati dan terus Cemerlang dalam semua aspek operasinya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan