AM > BERITA

WAKIL ASING DIPELAWA KE ESS ZONE UNTUK NIKMATI KEINDAHAN SABAH

26/07/2024 12:34 AM

TAWAU, 25 Julai (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail malam ini mengalu-alukan 10 wakil asing yang menerima jemputan bagi menghadiri program taklimat dan tinjauan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone), yang bermula hari ini.

Beliau berkata program dua hari itu diadakan untuk memberi pengalaman kepada delegasi dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Denmark, Jepun, Jerman, Perancis, Kanada dan Finland tentang keselamatan di Pantai Timur Sabah terutama ESS Zone.

"Saya berharap lawatan wakil asing ini akan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai situasi keselamatan dan kesejahteraan di ESS Zone kerana kami akan berkunjung ke Pulau Mabul, Pulau Sipadan dan Pulau Kapalai (di Semporna), semoga usaha kecil ini akan membantu menjadikan bukan sahaja ESS Zone malah Sabah lebih makmur.

"Saya amat berharap menerusi program ini anda akan dapat merasai situasi yang selamat dan pada masa sama, menikmati keindahan pemandangan serta mengembalikan kenangan indah ini ke negara anda dan mengajak rakan senegara anda untuk mengalami perkara sama iaitu menikmati pengalaman yang menakjubkan di Sabah," katanya dalam ucapan alu-aluan pada program itu di sini malam ini.

Saifuddin Nasution juga berkata kedudukan strategik Sabah di rantau ini secara langsung boleh menyebabkan kebimbangan berkaitan pencerobohan, penculikan, pelanunan, penyeludupan kontraban dan pemerdagangan manusia namun beliau mempercayai sepenuhnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi membendung serta menangani isu ini.

"Kami merekodkan sifar insiden penculikan sejak 15 Jan 2020. Bagi pihak ESSCom, kami amat menggalakkan dan mengalu-alukan kehadiran orang luar untuk datang serta melawat Pantai Timur Sabah dan serahkan isu keselamatan kepada kami kerana itu adalah keutamaan kami," katanya.

"Bagi kami, pelancong adalah aset kami, justeru itu kami perlu dan harus melindungi mereka dengan sedaya-upaya daripada sebarang ancaman serta bahaya dan bagi membuktikan keseriusan kami dalam perkara ini, ESSCom menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah merancang untuk memperkenal sistem aplikasi telefon pintar yang dipanggil Sahabat Sabah," katanya.

Sementara itu, ESSCom adalah antara sumber rujukan bagi pelabur yang ingin mendapatkan nasihat dari segi keselamatan di ESS Zone. 

Saifuddin Nasution juga berkata sebagai sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), kedudukan geografi negeri itu adalah strategik dan kerajaan negeri telah mengenal pasti pantai timur sebagai hab pertumbuhan ekonomi yang baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan