AM > BERITA

PPRT kini dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Sejahtera - Ahmad Zahid

26/07/2024 03:58 PM

KOTA TINGGI, 26 Julai (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjenamakan semula Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS). 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penjenamaan semula itu bertujuan menukar persepsi masyarakat setempat dan minda penghuni program perumahan berkenaan.

Langkah itu juga katanya, turut melibatkan penambahbaikan spesifikasi rumah PPRS kepada 680 kaki persegi berbanding 600 kaki persegi sebelum ini dan pengenalan konsep rent-to-own atau sewa untuk beli bagi penghuni yang bercadang memiliki rumah yang didiami.

Ahmad Zahid yang ditemui pemberita selepas menyampaikan rumusan Program Pemukiman KKDW di sini hari ini berkata penambahbaikan keluasan rumah berkenaan dibuat berdasarkan standard dan piawaian dasar perumahan negara.

“Saya harap program ini akan diikuti oleh kementerian lain yang terlibat dalam penyediaan rumah untuk rakyat terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri, jabatan perumahan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Konsep ini kita mesti lakukan perubahan dan bukan hanya ikut dasar perumahan negara, tetapi juga lebih menyeluruh dalam menukar minda dan citarasa kepada pihak berkepentingan yang terlibat terutama pembeli dan penghuni rumah-rumah kos rendah berkenaan," katanya. 

Ahmad Zahid berkata bagi 2024, KKDW telah memperuntukkan RM460.4 juta untuk membina 3,000 unit PPRS baharu dan membaik pulih 12,600 unit sedia ada. 

Kementerian juga katanya, merancang untuk membina lebih banyak PPRS di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Bagi RMK12, lebih 10,000 unit telah dibina. RMK13 kita sedang rancang lebih banyak kerana kita tahu kos boleh dikurangkan terutama kos pembelian tanah, kos untuk infrastruktur jalan atau lorong masuk ke kawasan perumahan dapat dikongsi bersama kerajaan negeri, PBT dan syarikat-syarikat kerajaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan