AM > BERITA

PM Anwar Mahu Pembangunan Semula Pasar Dato Keramat Diberi Perhatian

26/07/2024 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi perhatian dan keutamaan kepada pembangunan semula Pasar Dato Keramat, di sini yang dilihat sangat daif. 

Anwar berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada kepada Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh. 

“Pasar Dato Keramat ini saya tengok masalahnya dahulu DBKL bagi kepada syarikat swasta, (tetapi) gagal. Jadi, DBKL baru ambil balik dan saya fikir kita perlu beri perhatian kerana keadaannya sangat daif.

“Insya-Allah saya telah beritahu Datuk Seri Johari dan Datuk Bandar pun ada di sini. Kita beri perhatian serta keutamaan sebab saya rasa tak boleh bertahan secara begitu, sangat daif,” kata Anwar ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ibnu Mas’ud, Jalan Damai di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Pasar Dato Keramat dan medan selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini.

Perdana Menteri berkata medan selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz pula kini dalam proses naik taraf dan dijangka siap sebelum Oktober ini.

Sementara itu, Johari berkata isu melibatkan pemaju terdahulu yang sepatutnya membangunkan Pasar Dato Keramat telah selesai kerana pihak berkenaan sudah menyerahkan semula tanah itu kepada DBKL dan menerima pulangan deposit.

“DBKL dahulu telah jualkan tanah kepada pemaju yang berjanji hendak membangunkan Pasar Dato Keramat, namun selepas enam tahun ia masih belum dibuat.

“Bila tak buat, DBKL nak buat pun tak boleh, nak baiki pun tak boleh, sebab dia (pemaju) dah bayar 10 peratus tak silap saya. Jadi, lepas saya jadi wakil rakyat, saya desak DBKL tarik balik (penjualan tanah),” katanya.

Beliau berkata kini terpulang kepada DBKL untuk mengambil langkah seterusnya bagi menjalankan usaha untuk menaik taraf pasar berkenaan.

Turut hadir pada program hari ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan