AM > BERITA

Turkiye Intai Kerjasama Dengan Sarawak Dalam Industri Teknologi Tinggi, Tenaga Hijau

26/07/2024 04:21 PM

KUCHING, 26 Julai (Bernama) -- Turkiye komited untuk memperluaskan kerjasama dua hala dengan Malaysia dalam industri teknologi tinggi dan tenaga hijau di Sarawak, kata Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.

Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini, duta itu meramalkan potensi Sarawak untuk merealisasikan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.

“Kita telah memperkenalkan dua syarikat penting dari Turkiye untuk meningkatkan kerjasama dan membincangkan bagaimana kita boleh mencapai sinergi antara syarikat kami dan keupayaan Sarawak.

“Visi Sarawak (kerajaan) sebenarnya secara peribadi sangat mengujakan saya, kerana terdapat aktiviti ekonomi yang besar dan visi Premier (Abang Johari) sangat menarik,” katanya.

Pertemuan yang berlangsung selama setengah jam itu turut membincangkan potensi Sarawak dalam infrastruktur, teknologi aeroangkasa dan pendigitalan.

“Ini adalah beberapa bidang dan item yang Turkiye mahir dan kita mempunyai syarikat berbeza yang bekerja ke arah ini,” katanya.

Turut hadir Pengarah Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Fenny Nuli.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan