AM > BERITA

Penubuhan Institut Kajian Tuah, mangkin penyelidikan berkaitan Hang Tuah - Ab Rauf

26/07/2024 06:16 PM

ALOR GAJAH, 26 Julai (Bernama) -- Penubuhan Institut Kajian Tuah (IKAT) dilihat mampu menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai pengkaji menyumbangkan idea bagi melengkapkan kajian berkaitan Hang Tuah yang sedang giat dilakukan kerajaan negeri bersama Universiti Islam Melaka (UNIMEL).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ini adalah susulan usaha kerajaan negeri yang melantik 10 penyelidik dan pakar sejarah selain mengadakan Pameran Hang Tuah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bermula 10 Jun hingga 28 Julai ini.

"Ini adalah satu lonjakan positif buat kerajaan negeri sebagai hab pendidikan sejarah, budaya, politik dan kemasyarakatan, sekali gus memperkasakan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan agar terus kekal buat tatapan generasi akan datang.

"Saya berharap IKAT dapat memainkan peranan proaktif dalam melaksanakan penyelidikan untuk membetulkan sejarah yang disembunyikan oleh penjajah," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran ISRA Corner, Perasmian Institut Kajian Tuah dan Menandatangani Surat Niat sempena Ulang Tahun ke-30 UNIMEL, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Dalam pada itu Ketua Penyelidik Kajian Hang Tuah yang juga Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Dr Mohd Taib Dora yang ditemui media berkata penubuhan Kerusi Hang Tuah dilihat mampu menjadi platform terbaik dalam usaha membawa lebih banyak pengkaji dari dalam dan luar negara untuk menjalankan penyelidikan berkaitan Hang Tuah.

Katanya ia merupakan antara tiga inisiatif yang akan dilakukan oleh IKAT bagi menghimpun dan memfokus peranan Laksamana Hang Tuah dalam era Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.

"Kita tubuhkan Kerusi Hang Tuah sebab Kerusi ini akan ada dana penyelidikan dan ia dilihat mampu membiayai pelbagai kajian yang akan dilakukan selepas ini oleh pengkaji yang berminat. 

"Selain itu, kita akan menawarkan program pengajian berkaitan Hang Tuah di peringkat Sarjana (Masters) dan Doktor Falsafah (PhD) serta membuat kolobrasi dengan universiti luar negara seperti di India, Thailand, Turkiye dan Indonesia, iaitu negara yang Hang Tuah pernah jejakkan kaki, untuk membawa lebih banyak penyelidik bagi kajian ini," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan