AM > BERITA

PDRM umum 22 pertukaran pegawai kanan

26/07/2024 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 22 pegawai kanannya berkuat kuasa 26 Ogos ini.

Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Kamaruzaman Abdullah bagi pihak Setiausaha Polis Malaysia memaklumkan pertukaran itu antaranya melibatkan Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan Maktab PDRM Kuala Lumpur Datuk Suryani Sungit yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Turut bertukar ialah Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Sabah ACP Abdul Rahman Kassim yang dilantik sebagai SAC Dasar Strategik PDRM, Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

"Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz pula dilantik sebagai SAC Modenisasi Pengurusan Organisasi, Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC, manakala jawatannya diambil alih Ketua Polis Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan Supt Aidi Sham Mohamed dengan memangku pangkat ACP," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Ketua Penolong Pengarah Perisikan/Siasatan Khas Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan dan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Dang Wangi. 

Pertukaran lain ialah Ketua Polis Daerah Semporna, Sabah Supt Mohd Farhan Lee Abdullah yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuching, Sarawak manakala Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Johor Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dinaikkan kepada Ketua Polis Daerah Batu Pahat, dengan kedua-duanya memangku pangkat ACP.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Johor Supt Hussin Zamora pula bertukar ke Ketua Jabatan Pengurusan Johor dengan memangku pangkat ACP manakala Ketua JIPS Pahang ACP Sulaiman Staffa bertukar ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling) Bahagian Agama dan Kaunseling JIPS dengan memangku pangkat SAC. 

Jawatan Sulaiman akan diisi oleh Ketua JIPS Melaka Supt Amirudin Mohd Salleh yang akan memangku pangkat ACP. 

Kamaruzaman berkata Penolong Pengarah Perjawatan (Pegawai Diwartakan) Cawangan Perjawatan Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengekalkan jawatan tersebut dengan memangku pangkat SAC.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan