AM > BERITA

Pewakil asing kagum dengan tahap keselamatan, keindahan alam di Tawau dan Semporna

26/07/2024 11:22 PM

SEMPORNA, 26 Julai (Bernama) -- Perwakilan asing yang menghadiri taklimat Menteri Dalam Negeri dan program tinjauan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) kagum dengan tahap keselamatan yang ketat selain keindahan alam semula jadi di Tawau dan Semporna.

Perwakilan asing itu, ketika ditemui Bernama pada program dua hari yang bermula semalam melahirkan rasa kagum dengan usaha Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam menjaga keselamatan khususnya di sepanjang pantai timur negeri ini. Mereka berharap langkah keselamatan ini akan diteruskan untuk beberapa tahun akan datang. 

Timbalan Ketua Misi Anni Stahle dari Kedutaan Finland di Malaysia, memuji ESSCOM atas kerja cemerlangnya selama ini. Beliau berkata lawatan itu memberikan pandangan berharga daripada Kementerian Dalam Negeri dan ESSCOM berhubung isu keselamatan.

“Saya melawat Tawau dan pulau-pulau di Semporna buat pertama kali, dan saya akui bahawa, pulau-pulau itu adalah antara tempat tercantik di dunia. Ini merupakan perjalanan yang sangat menarik, membolehkan kami menyaksikan sendiri keindahan dan keselamatan kawasan itu. Saya benar-benar kagum,” katanya.

Stahle juga menyebut bahawa maklumat yang diperoleh daripada perjalanan ini sangat berharga, dan akan dikongsi dengan kedutaan, termasuk butiran mengenai ESSCOM dan rantau ini.

Program ini bertujuan untuk mendedahkan kepada delegasi dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Denmark, Jepun, Jerman, Perancis, Kanada, dan Finland, dengan pengalaman secara langsung mengenai langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan di sepanjang pantai timur Sabah, khususnya dalam ESSZone. .

Sementara itu, Atase Pertahanan Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia Michael Edwards, mengulas mengenai kawalan keselamatan yang ketat di perairan Semporna, sambil menyatakan bahawa keadaan itu memberikan ketenangan fikiran kepada beliau dan perwakilan lain untuk menghargai sepenuhnya keindahan semula jadi di kawasan itu.

“Hari ini, kami melawat Mabul, Kapalai, dan Kepulauan Sipadan. Pulau-pulau itu menakjubkan, dan penduduk yang saya temui, semuanya baik dan mesra. Ini adalah lawatan pertama saya ke Tawau dan Kepulauan Semporna. 

“Saya pernah melawat beberapa pulau di Semenanjung Malaysia, seperti Pangkor dan Perhentian, tetapi tiada yang dapat menandingi keindahan pulau-pulau di sini," katanya.

Sementara itu Setiausaha Kedua (Politik) Suruhanjaya Tinggi Britain, Robert Pepperb berkata perjalanan ke Tawau dan Semporna memberikan pengalaman berharga untuk semakan yang lebih teliti dan kerap di kawasan itu.

"Saya mempunyai pengalaman yang hebat dan menarik, melihat segala-galanya di sini dengan mata kepala saya sendiri," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menjadi hos program itu berkata jaminan keselamatan adalah keutamaan kerajaan dan yakin sektor pelancongan menunjukkan peningkatan dengan keselamatan yang sentiasa dijaga dengan baik seperti mana dilakukan ESSCOM.

"Jadi kalau berkaitan potensi keindahan pelancongan perwakilan asing ini bagi markah penuh dan ini menunjukkan bahawa lawatan ini benar-benar satu pendedahan kepada mereka ini yang juga pegawai kanan dengan kedutaan masing-masing,” katanya yang turut meninjau Pulau Mabul, Sipadan serta Kapalai di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan