AM > BERITA

TPM Fadillah lakukan kunjungan hormat ke atas PM Vietnam, perkukuh kerjasama dua hala

26/07/2024 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Jumaat mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh di Hanoi.

Fadillah berkata semasa pertemuan dengan Chinh, beliau mengulangi komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia untuk terus mengukuhkan jalinan kerjasama di antara Malaysia dan Vietnam.

“Khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, industri halal dan pelancongan,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.

Dalam konteks jalinan kerjasama serantau, Fadillah berkata Chinh turut menyatakan sokongan kukuh kerajaan Vietnam terhadap Malaysia yang bakal menjadi pengerusi ASEAN pada tahun depan demi kepentingan dan kemajuan bersama.

Menerusi hantaran sama, Fadillah berkata Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani dan Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai turut menyertai beliau dalam pertemuan itu.

Terdahulu, Fadillah mewakili kerajaan Malaysia memberi penghormatan terakhir dan menghadiri Majlis Pengebumian Negara Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (PKV) Nguyen Phu Trong.

Kementerian Luar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis memaklumkan lawatan kerja Fadillah ke Vietnam yang berakhir pada Jumaat menggariskan komitmen Malaysia untuk terus mengekalkan hubungan diplomatik yang kukuh dengan Vietnam, di samping menghormati legasi yang ditinggalkan Trong.

Sementara itu, Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan bahawa Chinh mencadangkan Malaysia dan Vietnam terus merealisasikan hasil perbincangan antara Trong dan Anwar semasa lawatan rasmi beliau ke Vietnam pada Julai 2023.

Hasil perbincangan itu termasuk meningkatkan pertukaran lawatan dan hubungan peringkat tinggi, berkongsi pengalaman, menyokong satu sama lain, dan berusaha untuk menandatangani perjanjian kerjasama dalam industri Halal tidak lama lagi.

Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan meneruskan penyelarasan yang berkesan dan layanan kemanusiaan terhadap nelayan Vietnam yang ditahan selaras dengan undang-undang antarabangsa dan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Bersetuju dengan pendapat Chinh, Fadillah menegaskan bahawa Malaysia bersedia membantu Vietnam dalam pembangunan sektor Halal, dan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga hijau, tenaga bersih, tenaga boleh diperbaharui, transformasi digital, pengeluaran semikonduktor dan AI, dengan berusaha mencapai perdagangan dua hala sebanyak US$18 bilion setahun pada masa akan datang.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk meneruskan penyelarasan rapat untuk membina komuniti ASEAN dengan pembangunan mampan yang memainkan peranan penting dalam menangani isu strategik di rantau ini dan dunia, termasuk Laut China Selatan.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan