AM > BERITA

Pemimpin rakam takziah atas pemergian bekas Menteri Siti Zaharah Sulaiman

27/07/2024 12:13 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Beberapa pemimpin kerajaan dan parti hari ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman, yang meninggal dunia malam tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menerusi catatan Facebook berkata Siti Zaharah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO itu merupakan sahabat kepada arwah ibunya.

“Al-Fatihah. Sahabat akrab arwah bonda. Tidak pernah dengar khabar Allahyarhamah tidak sihat.

“Dirafakkan doa semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama para hamba yang dikasihi Allah SWT. Salam takziah buat seisi keluarga,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata selain pembangunan Wanita UMNO, Allahyarhamah banyak berjasa kepada negara dan bangsa.

“Sumbangan beliau tidak ternilai dan akan terus dikenang oleh semua lapisan masyarakat.

“Wanita UMNO berdukacita atas pemergian Allahyarhamah dan mengucapkan takziah kepada keluarga serta kenalan beliau. Semoga Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan diberikan ketenangan abadi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pemergian Allahyarhamah satu kehilangan besar kepada negara, negeri Pahang dan juga UMNO.

“Semoga roh Allahyarhamah Tan Sri dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.

Siti Zaharah meninggal dunia di Hospital Serdang pada 11.23 malam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan