AM > BERITA

Kurangkan 10 Peratus Penggunaan Air Sehingga September - PBAPP

27/07/2024 01:35 PM

GEORGE TOWN, 27 Julai (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merayu kepada 593,255 pengguna air domestik berdaftar di negeri ini untuk mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus sehingga musim hujan September depan bagi mengelakkan berlakunya krisis air.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan berkata pengurangan 10 peratus dalam penggunaan domestik akan dapat membantu PBAPP menjimatkan 50 juta liter sehari (JLH).

“Jadi, jika setiap pengguna air domestik Pulau Pinang dapat mengurangkan 10 peratus penggunaan air, kita akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memastikan bekalan air mencukupi sehingga hujan tiba pada September depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pathmanathan berkata taburan hujan yang rendah sejak Januari lepas telah menyebabkan penurunan kapasiti efektif di dua empangan utama selain menjejaskan pengeluaran air terawat yang sekali gus memberi kesan kepada operasi bekalan air di Pulau Pinang.

Semalam beliau berkata Empangan Air Itam mencatatkan kapasiti efektif rendah iaitu 41.1 peratus dan Empangan Teluk Bahang 31.9 peratus. 

Pengeluaran air terawat lebih rendah turut dicatatkan di Loji Rawatan Air Terjun disebabkan oleh kekurangan air mentah dari Kawasan Tadahan Air (KTA) Air Terjun selain pengeluaran air terawat lebih rendah turut berlaku di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Pinang disebabkan kekurangan air mentah dari KTA Titi Kerawang.

“Kekurangan taburan hujan juga telah menyebabkan bacaan paras air bawah 2.0 meter di muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang selama 16 hari berturut-turut sejak 11 Julai lepas dengan kapasiti efektif Empangan Muda yang dibina untuk melepaskan air ke Sungai Muda turut menjunam kepada 9.9 peratus pada 25 Julai (Khamis). 

“Bagaimanapun, mujur kapasiti efektif Empangan Beris di Kedah berada pada 60.2 peratus dan Kedah sedang melepaskan air ke Sungai Muda, manakala PBAPP juga melepaskan rizab Empangan Mengkuang Diperluas (EMD) setiap hari untuk menambah pengambilan air mentah dari Sungai Muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan memberitahu bahawa PBAPP perlu mendapatkan air mentah yang mencukupi dari Sungai Muda dan melepaskan air daripada EMD untuk mengekalkan operasi pengeluaran air yang optimum di LRA Sungai Dua yang merupakan LRA terpenting Pulau Pinang. 

Beliau berkata PBAPP sedang mengaktifkan pelan pengurusan krisis bagi meminimumkan kesan isu taburan hujan rendah serta memastikan Pulau Pinang mempunyai air yang mencukupi sehingga musim hujan tiba pada September.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan