AM > BERITA

Lebih 900 program 'Trash to Cash' dilaksanakan di Melaka tahun lepas

27/07/2024 06:43 PM

MELAKA, 27 Julai (Bernama) -- Sebanyak 957 program 'Trash to Cash' anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama pelbagai pihak berjaya dilaksanakan di negeri ini dengan jumlah kutipan barangan kitar semula sebanyak 1.6 juta kilogram, sepanjang tahun lepas.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata keseluruhan program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan tambahan berjumlah RM354,798.23 dan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk melaksanakan aktiviti kitar semula.

Beliau berkata selain itu, program 'Trash to Cash' juga membantu melencongkan sisa berkenaan daripada dibuang di tapak pelupusan sampah di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini sekali gus membantu memanjangkan jangka hayat satu-satunya tapak pelupusan sisa pepejal di negeri itu. 

"Kita jangan memandang 'Trash to Cash' ini hanya sebagai satu program kitar semula sebaliknya dengan melaksanakan kitar semula terutama pengasingan sisa di punca bermula dari rumah setiap hari, ia membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan yang semakin hari semakin penuh.

"Selain program 'Trash to Cash', pembinaan pusat pandu lalu kitar semula juga merupakan satu daripada strategi yang ditawarkan kepada masyarakat di negeri ini bagi menyokong strategi Dasar Kebersihan Negara yang menetapkan kadar kitar semula negara pada sasaran 40 peratus menjelang tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mega 'Trash to Cash' 2024 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi SWCorp Hee Loy Sian dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Terdahulu, Rais berkata program 'Trash to Cash' yang diadakan hari ini memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk melupuskan al-Quran lama atau yang telah rosak dan mereka turut diberi al-Quran baharu yang mendapat perakuan Kementerian Dalam Negeri secara percuma.

Beliau berkata selain itu, Jabatan Agama Islam Melaka turut menawarkan inisiatif pelupusan buku agama dan naskhah yang mengandungi ayat al-Quran.

"Orang ramai yang mempunyai sisa makanan dan menghantarnya ke karnival ini juga mendapat bayaran pada kadar 10 sen sekilogram selain minyak masak terpakai pada kadar bayaran RM3 sekilogram," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh empat jam karnival berkenaan berlangsung bermula 9 pagi, sebanyak 10,360 kilogram barangan kitar semula seperti minyak masak, botol kaca dan plastik serta fabrik, kertas dan kotak berjaya dikumpulkan dengan bayaran kepada peserta sebanyak RM8,266.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan