AM > BERITA

Operasi Pembenihan Awan Di Kedah, Perak Bermula Esok - Ahmad Zahid

28/07/2024 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut bermula esok. 

Beliau berkata operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik. 

Merujuk kepada data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pada Jumaat (26 Julai), Ahmad Zahid berkata peratus takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44 peratus manakala Empangan Bukit Merah, 15.25 peratus. 

"Usaha ini satu daripada usaha kerajaan menangani impak fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata operasi itu dilaksanakan atas permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK). 

Pelaksanaan adalah menerusi penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ahmad Zahid berkata bekalan air dari Empangan Muda dialirkan ke Empangan Pedu, Kedah bagi keperluan domestik, industri dan pengairan padi. 

Beliau berkata tanaman padi Kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia dengan keluasan 100,641.19 hektar terdiri daripada 81,606.66 hektar di Kedah dan 19,034.53 hektar di Perlis.  

Sementara kawasan tanaman padi di Kerian, Perak yang menerima sumber air dari Empangan Bukit Merah pula merupakan jelapang padi ketiga terbesar negara dengan keluasan 20,326 hektar.

"Kekurangan turunan hujan akan mengakibatkan takungan simpanan akan terus menyusut seterusnya tidak dapat menampung keperluan untuk jangka masa panjang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan