AM > BERITA

DBKL Edar Lebih 40,000 Jalur Gemilang Sempena HKHM

28/07/2024 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengedarkan lebih 40,000 Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata bendera itu akan diedarkan kepada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, majlis perwakilan penduduk, persatuan penduduk dan institusi pendidikan.

“Ini antara satu galakan kepada penghuni rumah di Kuala Lumpur mengibarkan satu Jalur Gemilang bagi setiap rumah untuk meningkatkan rasa kebersamaan menyambut Hari Kebangsaan. Jadi, penduduk di sekitar ibu negara boleh dapatkan bendera ini di pusat perkhidmatan di setiap Parlimen,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Karnival Santai Keluarga 50WP Temu DBKL @ Wangsa Maju di sini hari ini.

Dr Zaliha mengedarkan Jalur Gemilang kepada 11 wakil Parlimen di Kuala Lumpur pada majlis yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Beliau berkata pengedaran Jalur Gemilang itu akan diperluaskan ke Labuan dan Putrajaya selepas ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai program dirangka DBKL sepanjang Bulan Kebangsaaan termasuk kempen dan pertandingan kibar Jalur Gemilang serta pertandingan pencahayaan untuk bangunan-bangunan di sekitar Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan