AM > BERITA

Swcorp Komited Tingkatkan Amalan Kitar Semula Dalam Kalangan Masyarakat

28/07/2024 06:35 PM

PUCHONG, 28 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) tekad mengukuhkan pemahaman masyarakat mengenai amalan sekitar semula serta meningkatkan kadar kitar semula negara menerusi pelbagai inisatif.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata pelbagai pendekatan diambil pihaknya dalam usaha mengurangkan kadar sisa pepejal ke tapak pelupusan.

"Kita harap dapat kurangkan lagi sisa ke tapak pelupusan, kita punya fokus nak lencongkan sampah-sampah ke kilang kitar semula, untuk tahun ini (sasaran ialah) 37.5 peratus dan untuk tahun depan 40 peratus.

"Bagi tahun lepas pula sebanyak 35 peratus. Jadi setiap tahun kita jangkakan 2.5 peratus akan ada penurunan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan," katanya pada sidang media Program Karnival Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti MADANI di sini, hari ini.

Beliau berkata usaha itu bermatlamat membantu usaha kerajaan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan kadar kitar semula kebangsaan kepada 40 peratus menjelang 2025.

Antara insiatif yang dinyatakan SWCorp ialah Program Trash to Cash yang memberi pulangan atau pendapatan tambahan kepada individu atau komuniti yang menyelamatkan sisa yang boleh dikitar semula.

Selain itu, SWCorp turut melaksanakan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran, Program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS), Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS), Pertandingan Reka Bentuk From Waste to Wealth Innovation (WAWI) serta Anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Sisa Pepejal di Sektor Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian (STAR-CII).

Seiring dengan hala tuju Dasar Kebersihan Negara, SWCorp juga memperkenalkan kira-kira 32 Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) bagi memudahkan orang ramai mengitar semula barangan yang tidak lagi digunakan oleh mereka.

"Bagi setiap hari ada 38,000 sisa pepejal yang dibuang dan untuk setahun sebanyak 14 juta," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu yang merasmikan karnival berkata program KOSIS yang bermula 2020, berjaya mengumpul lebih 450,000 kilogram barangan kitar semula berjumlah RM138,505 setakat tahun lepas. 

"Kita ada 17 PPR di bawah pengurusan KPKT dan kita mahukan pengasingan sisa pepejal ini dibuat di peringkat awal, dari rumah lagi.

"Kos untuk menyelenggara pusat pelupusan ini sangat tinggi dan ia merupakan tanggungjawab kita semua untuk bersama-sama membantu mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan dengan bijak," katanya.

Pada karnival sama, tong minyak masak terpakai berkapasiti 40 liter telah diserahkan kepada 27 peniaga Pusat Penjaja Taman Putra Perdana di sini bagi menggalakkan pengumpulan minyak masak terpakai dalam kalangan peniaga.

SWCorp merupakan sebuah agensi penguatkuasaan kerajaan yang ditubuhkan pada 1 Jun 2008 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan