AM > BERITA

Malaysia Terima Banyak Cadangan Jadi Agensi Angkasa ASEAN

29/07/2024 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Malaysia menerima banyak cadangan dari negara-negara lain untuk menjadi agensi angkasa di rantau ASEAN, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sekurang-kurangnya lima atau enam negara meminta Malaysia menjadi pusat pelancaran satelit berkenaan walaupun penubuhan agensi angkasa itu masih dalam perancangan. 

“Kita (kerajaan) belum lagi pilih negeri atau tempatnya di mana (penubuhan agensi angkasa ini) tetapi kita akan bincang dengan kementerian dan agensi-agensi berkenaan sebelum dibawa ke Kabinet untuk kita realisasikan,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lim Pay Hen yang ingin tahu sama ada kerajaan akan membangkitkan tentang penubuhan agensi angkasa yang pernah dibincang sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) semasa menjadi Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025.

Pada LIMA tahun lepas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axelspace Japan Nakamura Yuya  berkata negara anggota ASEAN seharusnya bekerjasama menubuhkan agensi angkasa itu kerana ia mungkin membantu mengurangkan kos dan sumber yang sering menjadi antara halangan kepada sebarang pembangunan projek berkaitan angkasa.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Arman Azha Abu Hanifah sama ada keberadaan negara-negara ASEAN dalam BRICS turut akan dibincangkan semasa sidang kemuncak itu, Mohamad berkata ia bergantung kepada negara-negara anggota terlibat.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan blok ekonomi baharu itu menjadi platfrom terbaik kepada Malaysia untuk bersuara, mengambil kira populasi penduduk dan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara-negara yang menganggotai adalah lebih besar daripada ASEAN. 

“BRICS ini satu blok tidak formal yang tidak memerlukan kita (Malaysia) menangani apa-apa ‘treaty’. Kita melihat blok yang boleh menjadi platform baik kepada negara kerana populasi negara-negara anggota lebih daripada dua bilion dan KNDK pula lebih besar berbanding ASEAN. 

“Sebab itu, Malaysia menyatakan minat menganggotai jika ada keahlian baharu BRICS dibuka,” katanya.

BRICS ditubuhkan pada 2009 adalah platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan, namun pada awal tahun ini Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) diterima masuk menjadi ahli baharu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan