AM > BERITA

Naratif Tidak Benar Pembangunan Kampung Sungai Baru Perlu Diperbetul - Zaliha

29/07/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Naratif tidak benar sesetengah pihak berhubung isu pembangunan Kampung Sungai Baru di Kampung Baru perlu diperbetulkan bagi memastikan tidak bercanggah dengan fakta sebenar. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata mahkamah telah pun memutuskan mengenai isu pembangunan kawasan itu. 

Beliau berkata sejak memegang jawatan, perkara berkenaan dikenal pasti sebagai isu legasi atau isu lama dan selaku menteri beliau mahu penyelesaian segera.

“Saya rasa kita kena betulkan naratif atau fakta-fakta salah yang mungkin dibawa sesetengah orang. Kita tahu dan saya hari tu juga ada melihat beberapa temu ramah dengan penduduk yang bersetuju dan mereka ini datang dengan naratif mereka, ini perkara yang berlaku on the ground.

“Kita tahu (isu) itu sudah ada keputusan mahkamah dan ada dua kumpulan penduduk iaitu ada yang bersetuju dan ada tidak bersetuju dengan lebih 68 peratus bersetuju, manakala lebih 30 peratus lagi tidak bersetuju … sudah tentu apabila kerajaan mahu teruskan projek ini kita melihat kepada majoriti dan keperluan majoriti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Mempertingkatkan Persimpangan Lebuhraya Sultan Iskandar Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Kerajaan mempunyai peranan untuk ‘facilitate’ pembangunan apa lagi pembangunan di Kampung Sungai Baru yang sekiranya dilaksanakan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan di Kampung Baru  khususnya dan Kuala Lumpur amnya.

“Kita sendiri tahu macam mana Kampung Baru itu agak ketinggalan daripada sudut pembangunan. Kita mahu pembangunan di Kampung Sungai Baru menjadi catalyst kepada pembangunan di Kampung Baru dan akhirnya untuk Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaliha berkata pihaknya akan bertemu peniaga di Kompleks Pasar Raja Bot di sini bagi mendapatkan maklum balas mengenai rungutan pelanggan kurang berkunjung ke kawasan itu. 

“Saya juga mendapat aduan (pelanggan kurang) itu, saya sudah arahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk bantu kawasan ini … kita tahu pelanggan sudah biasa ke tapak lama.

“Insya-Allah kita akan bantu daripada sudut promosi dan saya sendiri akan turun ke kawasan itu dan melihat keadaan, kita sebolehnya akan bantu supaya orang ramai berkunjung ke situ. Kawasan ini sudah dibangunkan dengan kemudahan yang baik, cantik dan bersih,” katanya.

Baru-baru ini, timbul isu peniaga di Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit  belum bersedia untuk berpindah ke Kompleks Pasar Raja Bot kerana bimbang jualan menurun akibat kekurangan pelanggan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan