AM > BERITA

Cuaca Panas: Hadkan Aktiviti Luar, Ambil Langkah Berjaga-jaga

29/07/2024 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar berikutan negara berada dalam musim Monsun Barat Daya sejak 17 Mei lepas yang menyebabkan cuaca lebih panas dan kering.

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar di Universiti Putra Malaysia Dr Zulfa Hanan Ash'aari berkata keadaan cuaca panas itu dijangka melanda hingga pertengahan September, justeru mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga melindungi diri selain meminum air secukupnya.

“Selain itu, jangan melakukan pembakaran terbuka atau membuang puntung rokok merata-rata bagi mengelakkan berlakunya pembakaran luas yang boleh menyebabkan jerebu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata semasa Monsun Barat Daya angin yang bertiup dari arah barat daya datang dari kawasan lebih sejuk yang kurang lembap berbanding dengan angin Monsun Timur Laut yang datang dari Lautan Pasifik dan Laut China Selatan yang lebih lembap.

Zulfa Hanan berkata keadaan itu menyebabkan kelembapan udara yang sampai ke Malaysia lebih rendah semasa Monsun Barat Daya. 

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Maggie Ooi Chel Gee berkata orang ramai disarankan memakai pakaian bersesuaian dan menggunakan krim pelindung matahari agar terhindar daripada strok haba.

“Mereka disarankan agar sentiasa kekal terhidrat apabila melakukan aktiviti luar, jika perlu pakai topi dan guna payung yang tidak lut sinar untuk melindungi kulit daripada haba.

“Sekarang Malaysia dah masuk musim kering di bawah pengaruh Monsun Barat Daya dan kebiasaannya akan menerima taburan hujan yang rendah. Pada musim ini pihak kami sentiasa mendapat laporan berkaitan kebakaran di beberapa lokasi terutamanya di Asia Tenggara,” katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan  enam kawasan merekodkan cuaca panas Tahap 1 atau berjaga-jaga iaitu di Larut dan Matang, Perak; Kuala Muda, Kedah; Pasir Mas dan Kuala Krai, Kelantan serta di Sarawak iaitu di Bintulu dan Sri Aman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan