AM > BERITA

Pindaan Akta Perubatan tingkat tadbir urus latihan, pendaftaran pakar - KP Kesihatan

29/07/2024 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Pindaan kepada Akta Perubatan 1971 (Akta 50) adalah langkah penting bagi membetulkan ketidakaturan serta menyelesaikan kekeliruan yang timbul daripada Pindaan 2012, sekali gus meningkatkan tadbir urus latihan kepakaran dan pendaftaran pakar perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata pengenalan peruntukan baru, mekanisme pengawasan serta Jadual ke-4 dan ke-5 dalam akta itu, merupakan langkah untuk mewujudkan kejernihan bagi memastikan ketelusan dan tanggungjawab yang lebih besar dalam profesion perubatan.

Beliau yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berkata pindaan ini juga mencerminkan kepercayaan kerajaan terhadap MMC sebagai badan kawal selia.

“Pindaan ini memberi gambaran jelas mengenai keperluan yang perlu dipenuhi oleh pemohon untuk dimasukkan ke dalam Daftar Pakar dan kemasukan pengalaman kerja pascakelayakan (PQWE) serta kompetensi dalam Seksyen 14B Akta ini mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam latihan dan perkhidmatan kepakaran.

“Pindaan ini diharapkan akan menghasilkan natijah penjagaan kesihatan yang lebih baik dan meningkatkan kualiti latihan untuk profesional perubatan yang akhirnya akan lebih menjamin keselamatan pesakit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, Dr Muhammad Radzi berkata beliau menyambut baik pindaan terhadap Akta 50 yang diluluskan oleh Dewan Negara pada hari ini.

“Dengan pindaan ini, saya amat berharap agar profesion perubatan akan bergerak maju ke arah membina lembaran baharu bagi profesion ini di Malaysia, dengan semua pihak bekerjasama untuk memenuhi keperluan mendesak pakar di negara ini tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.

Beliau turut berharap supaya pakar baharu yang dimasukkan ke dalam Daftar Pakar akan berusaha menggunakan kemahiran dan kepakaran mereka dalam berkhidmat kepada negara khususnya kepada golongan kurang bernasib baik.

Terdahulu, Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 yang antara lain bertujuan memberikan kuasa kepada MMC untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran bagi tujuan pendaftaran pengamal perubatan dan pakar, diluluskan Dewan Negara hari ini selepas rang undang-undang itu dibahas oleh 14 senator.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan