AM > BERITA

Empat Lagi Empangan Sabo Akan Dibina Tahun Ini

30/07/2024 03:26 PM

YAN, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan membina empat lagi Empangan Sabo di empat negeri pada tahun ini bagi mengelak kejadian banjir aliran puing yang boleh menyebabkan kemusnahan di kawasan hilir sungai.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata empangan itu akan dibina di Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang dan Sabah.

“Anggaran kos yang paling murah pun dalam RM30 juta hingga mencecah RM144 juta, cuma projek itu kita buat secara berperingkat, maksudnya tahun ini lebih kepada prapelaksanaan.

“Empat projek ini tidak termasuk di Baling, Kedah yang telah diluluskan sebelum ini. Susulan daripada kejadian banjir puing yang berlaku di Kampung Iboi, maka kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan terdapat keperluan membina infrastruktur ini di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian itu berlaku lagi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengenal pasti kawasan berisiko berlakunya bencana banjir aliran puing dan akan mengemukakan cadangan untuk pembinaan Empangan Sabo berdasarkan keperluan.

Terdahulu, Akmal Nasrullah hadir majlis penyerahan projek pembinaan Empangan Sabo serta kerja-kerja berkaitan di daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah Fasa 1 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff@Munir Zakaria.

Menurut Akmal Nasrullah, projek itu yang menelan belanja RM22.8 juta bagi Fasa 1 membabitkan pembinaan dua Empangan Sabo di Titi Hayun di sini dan Tupah, Kuala Muda telah siap sepenuhnya.

“Dalam pakej peruntukan itu membabitkan dua fasa termasuk pembinaan dua jambatan, maksudnya dalam fasa satu, dua Empangan Sabo ini dibina dahulu dan apabila siap, kita serahkan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan fungsi dan penyelenggaraannya dirancang kerajaan negeri,” katanya.

Projek Empangan Sabo di Titi Hayun dan Tupah itu yang dilaksana secara reka bina mengambil masa selama 18 bulan daripada proses reka bentuk sehingga penyiapan projek.

Ia bertujuan menghalang banjir puing dan arus deras ketika berlakunya kepala air dan banjir lumpur seterusnya mengelakkan kemusnahan di kawasan hilir sungai serta dapat menyelamatkan nyawa penduduk setempat.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata secara keseluruhan sebanyak 18 projek di bawah Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan dilaksanakan di Kedah pada tahun ini membabitkan peruntukan RM160 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan