AM > BERITA

UTP Adakan Demonstrasi Teknologi PREDITACK™ Tangani Siput Gondang Emas

30/07/2024 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengadakan demonstrasi teknologi inovatif PREDITACK™ yang direka untuk menangani kesan negatif siput gondang emas terhadap hasil padi di Kampung Bohor di Kedah, baru-baru ini.

Menurut UTP, demonstrasi yang memperlihatkan kemajuan ketara dalam amalan pengurusan sawah itu turut menarik perhatian pihak berkepentingan termasuk pegawai kerajaan, pemimpin industri, pakar subjek dan ahli akademik.

Dibangunkan oleh Dr Mazeyanti Mohd Ariffin dari Pusat Penyelidikan Pengkomputeran Positif (+COMP) UTP,  PREDITACK™ menggunakan sensor Internet Benda (IoT) dan teknologi pelumpuh untuk menangani isu berterusan serangan siput berkenaan khususnya di sawah padi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) wilayah Kedah.

“Demonstrasi itu menyerlahkan keupayaan PREDITACK™ sebagai penyelesaian yang mampan dan mesra alam, meningkatkan hasil tanaman, mengurangkan kos menghapuskan siput gondang emas di sawah dan mengurangkan pergantungan kepada racun perosak kimia,” menurut UTP dalam satu kenyataan.

Turut hadir pada demonstrasi itu termasuk Pengerusi Technology Depository Agency (TDA) Sim Tze Zin, Ketua Pegawai Eksekutif TDA Dr Sharoul Jambari, Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan dan Pengurus Besar MADA Kamarudin Dahuli.

Turut hadir wakil MRCB-Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (MRCB-SULRT3), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Demonstrasi itu menekankan peranan PREDITACK™ dalam inisiatif Projek Ladang IR 4.0 oleh MADA yang bertujuan mengintegrasikan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti pertanian.

Teknologi berkenaan membantu petani mengimbas, meramal dan melumpuhkan siput itu sekali gus membawa kepada pengurusan sawah padi yang lebih berkesan.

Ujian di lapangan yang dijalankan oleh penyelidik UTP Nurshazlyn Mohd Aszemi mendedahkan bahawa PREDITACK™ berupaya menghapuskan lebih 75 peratus siput gondang emas dalam radius 100 meter.

"Apa yang penting ia selamat untuk spesies lain dan hanya menyasarkan siput gondang emas selain memelihara ekosistem semula jadi," menurut kenyataan itu.

Turut diadakan perbincangan mengenai potensi luas penggunaan PREDITACK™ untuk kegunaan petani dan komitmen kolektif semua pihak berkepentingan bertujuan menjadikan teknologi ini boleh diakses secara meluas di seluruh Malaysia.

“Kejayaan demonstrasi itu menandakan peristiwa penting dalam kemajuan amalan pertanian yang inovatif dan mampan.

“Dengan kerjasama dan sokongan berterusan, PREDITACK™ bersedia menjadi alat penting dalam memerangi serangan siput gondang emas selain menyumbang kepada kemakmuran dan kemampanan sawah padi di Malaysia,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

Penafian: Ini ialah artikel advertorial berbayar. Bernama tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel berkenaan.

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan