AM > BERITA

Malaysia Perlu Atasi Cabaran Jadi Negara Tua - Dzulkefly

30/07/2024 06:23 PM

GEORGE TOWN, 30 Julai (Bernama) -- Malaysia perlu mengatasi cabaran menjadi negara tua dengan berkesan, namun pada masa yang sama melakukannya dengan penuh ihsan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata Malaysia akan mencapai status negara tua menjelang 2030, dengan 15 peratus daripada populasi terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Seperti negara-negara Asean yang lain, kita telah dengan berhati-hati menyediakan sumber untuk menjaga kebajikan seluruh penduduk, menjaga kebajikan warga tua dan pada masa yang sama memastikan generasi muda dipersiapkan dengan cara penjagaan kesihatan, bagi menangani hidup yang lebih sihat dan umur lebih panjang,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Hari Tua yang Sihat 2024, di sini hari ini.

Ucapan beliau dibacakan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Dr Mohd Shafiee Ismail.

Dzulkefly berkata satu pengajaran yang berkesan daripada pandemik COVID-19 ialah jika seseorang itu terutama mereka yang tua itu tidak sihat, mereka terdedah bahaya dan bertarung nyawa ketika dijangkiti COVID-19.

“Kini kita kembali kepada fasa selepas pandemik. Tidak dinafikan banyak nyawa diselamatkan kerana vaksin.

“Sekalipun, kita tidak boleh menduga akan berlakunya keadaan buruk seperti dulu, kita perlu bekerja keras untuk mengatasi krisis ini, dengan memastikan setiap warganegara mengekalkan kesihatan terbaik,” katanya.

Dzulkefly berkata beliau berharap persidangan Persidangan Hari Tua yang Sihat 2024 itu, menjadi forum untuk menjelaskan apa yang diperlukan untuk mencapai status negara tua yang berjaya dan cabaran yang diperlukan bagi mencapai matlamat tersebut. 

Persidangan 3 hari bermula hari ini, bertemakan ‘Menua dengan berjaya’ dianjurkan Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) dengan kerjasama Persatuan Perubatan Komanwel (CMA).

Kira-kira 600 delegasi termasuk 45 penceramah antarabangsa dan 87 penceramah Malaysia akan berkongsi pandangan, dapatan kajian dan langkah inovatif bagi mempromosi penuaan yang sihat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan