AM > BERITA

Penyakit Berkaitan Cuaca Panas Meningkat Kepada 116 Kes

30/07/2024 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas setakat semalam, meningkat kepada 116 kes berbanding 112 kes pada 23 Julai lepas.

Laporan ringkas status cuaca panas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang memetik Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu 81 kes berpunca kelesuan haba, 27 kes strok haba dan lapan kes kejang haba.

Bilangan keseluruhan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri ialah 20 kes di Terengganu, Kedah (19), Johor (14), Pahang (14), Perak (11), Negeri Sembilan (10), Selangor (9), Sabah (7), Kelantan (4), Perlis (4), Kuala Lumpur (3) dan satu kes di Pulau Pinang.

Pecahan kes mengikut umur pula ialah 90 dewasa, 21 remaja, tiga kanak-kanak dan dua warga emas.

Tiada kes kematian baharu dilaporkan pada minggu ini menjadikan kematian akibat strok haba kekal lima kes dan hanya satu kes strok haba yang masih dalam rawatan di wad biasa Hospital Segamat, Johor.

Bagi status cuaca panas terkini, semalam tujuh daerah mencatatkan cuaca panas tahap 1 iaitu suhu maksimum harian 35 darjah Celcius hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, melibatkan Rompin, di Pahang serta daerah Kuching, Sri Aman, Kapit, Sibu, Marudi dan Telang Usan di Sarawak.

Bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos ini dijangkakan tahap amaran paling maksimum yang akan dikeluarkan adalah pada tahap 1 sahaja.

Mengenai storan empangan, terdapat dua empangan yang menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah dan berada pada paras bahaya setakat semalam.

Empangan tersebut iaitu Empangan Muda di Kedah iaitu 8.36 peratus dan Empangan Bukit Merah di Perak (14.86 peratus), manakala enam empangan lain menunjukkan baki stok simpanan semasa air mentah berada pada paras amaran iaitu Empangan Teluk Bahang (30.70 peratus) dan Empangan Air Hitam (37.30 peratus) di Pulau Pinang; Empangan Malut (38.70 peratus), Empangan Pedu (40.87 peratus) dan Empangan Beris (56.99 peratus) di Kedah serta Empangan Timah Tasoh di Perlis (40.52 peratus). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan