AM > BERITA

KPKM Mahu Generasi Muda Ceburi Sektor Perikanan Sebagai Nelayan Moden

31/07/2024 12:41 AM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mahu golongan belia menceburi sektor perikanan sebagai nelayan moden.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata penglibatan golongan belia sebagai nelayan muda dan moden, adalah sangat penting kepada sektor perikanan negara bagi memastikan kelestarian sekuriti makanan negara.

“Kementerian akan terus menyokong usaha murni ini, agar profesion nelayan tidak diangggap sebagai kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar), tetapi sebagai suatu kerjaya yang dapat memberikan peluang pekerjaan kepada belia dan mendatangkan pulangan hasil yang lumayan.

“Ini kerana kita tidak mahu suatu hari nanti sektor perikanan negara dimonopoli warga asing. Kita berhadapan cabaran, kita mempunyai nelayan dan petani yang menua, masalah ini bukan sahaja di negara kita malah hampir di semua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) kali ke-39 tahun 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah NEKMAT Abdul Hamid Bahari.

Arthur berkata di bawah pusat bertauliah di bawah KPKM, terdapat tiga institusi yang menawarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan industri perikanan, iaitu Kolej Pertanian Malaysia (KPM) di Kedah, Kolej Perikanan Sultan Nazrin Shah (KPSN) di Perak dan Akademi Perikanan Malaysia (APM) di Terengganu.

“Dengan pelbagai kemudahan seperti yuran percuma, elaun makan dan penginapan percuma, pelatih didedahkan kepada pelbagai teknologi moden yang memberi pelbagai faedah, seperti penggunaan simulator pemanduan bot nelayan dan perisian Virtual Reality (VR) aktiviti penangkapan ikan,” katanya.

Sementara itu Arthur berkata KPKM memberi jaminan akan menjaga kebajikan nelayan sekiranya terjejas dengan fenomena Monsun Barat Daya.

“KPKM akan usahakan sekiranya nelayan terjejas, dengan menyediakan bantuan dari tabung bencana dan sebagainya, dalam memastikan golongan itu memperoleh pendapatan untuk meneruskan operasi perikanan mereka,” katanya.

Terdahulu, Arthur dalam ucapannya berkata urus niaga NEKMAT bagi tahun berakhir 2023 mencatatkan keuntungan bersih lebih RM9.32 juta.

“Prestasi keuntungan NEKMAT amat membanggakan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pengerusi dan pengurusan NEKMAT. Semoga dapat meningkatkan keuntungan dalam usaha memperkasakan sosioekonomi masyarakat nelayan di negara ini.

“Bagi saya nelayan merupakan penyumbang penting dalam memajukan sektor perikanan negara dan dalam masa yang sama, turut memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dan terjamin,” katanya.

Arthur berkata pada tahun ini, kerajaan masih meneruskan skim subsidi diesel dan petrol kepada nelayan, dan kuota diesel bersubsidi yang telah diluluskan ialah sebanyak 70 juta liter dengan kadar harga subsidi yang ditetapkan ialah RM1.65 seliter bagi diesel dan petrol.

Justeru, pihaknya berharap agar nelayan dapat memanfaatkan subsidi ini dengan baik dan telus, tanpa menjual kembali kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terdahulu Pengurus Besar NEKMAT Azrin Shah Ismail berkata pihaknya berharap kerajaan akan meneruskan subsidi minyak untuk nelayan, kerana ia mampu meringankan kos operasi nelayan ke laut.

“Sekurang-kurangnya jika kerajaan beri elaun sara hidup dan insentif subsidi minyak ini, dapat bantu sebahagian kecil nelayan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan