AM > BERITA

Lupus: Salah Diagnosis Dan Lewat Dapat Rawatan Beri Risiko - Pakar Kesihatan

31/07/2024 10:10 AM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Penyakit autoimun yang kompleks, lupus memberi cabaran besar dari segi diagnosis berikutan banyak simptom atau gejalanya mirip dengan penyakit lain, kata Pakar Perunding Reumatologi Pusat Perubatan Sunway Dr Cheah Chee Ken.

Dr Cheah berkata keadaan itu sering menyebabkan berlaku salah diagnosis salah atau lewat mendapat rawatan yang membawa kepada komplikasi lebih parah kerana ia tidak dikesan lebih awal dan diurus dengan baik.

Beliau berkata serangan penyakit itu boleh berlaku tanpa amaran, dengan menjadikan sistem imun badan menyerang sel atau tisunya sendiri menyebabkan pelbagai gejala seperti keletihan, sakit sendi, ruam dan demam sama ada ringan atau teruk, selain berisiko mengakibatkan keradangan dan kerosakan pada mana-mana organ, lazimnya kulit, sendi dan organ dalaman.

“Lupus boleh muncul dalam pelbagai bentuk dan setiap satunya adalah unik bergantung kepada penghidapnya. Ia merupakan penyakit yang boleh meletus dan mereda secara tiba-tiba sekali gus membuatkan diagnosis dan pengurusannya cukup mencabar

“Gejalanya boleh datang dan pergi, selalunya semakin memburuk dan kemudian mereda. Ia juga boleh bermula secara beransur-ansur atau muncul secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah sejak 30 tahun lepas kira-kira 10,000 rakyat Malaysia disahkan menghidap lupus dengan kadar prevalen lebih tinggi dalam kalangan wanita.

Dr Cheah berkata komplikasi akibat lupus juga boleh merebak hingga menjejaskan pelbagai sistem tubuh termasuk nefritis lupus yang mengakibatkan kegagalan buah pinggang, gangguan neurologi seperti sawan dan gangguan kognitif, selain masalah kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok, isu-isu pernafasan serta gangguan darah seperti anemia.

Sehubungan itu, beliau berkata pengesanan awal sangat mustahak bagi memberi peluang kepada rawatan lebih awal dan memudahkan untuk menguruskan penyakit selain boleh mengurangkan keparahan komplikasi.

Beliau menambah lupus bukan sahaja memudaratkan fizikal tubuh badan tetapi juga memberi kesan ketara kepada kesihatan mental dan boleh membawa kepada gejala kerisauan serta kemurungan.

Dr Cheah turut menekankan kepentingan sokongan kesihatan mental kepada pesakit lupus seperti kumpulan sokongan, kaunseling dan terapi. 

“Oleh itu, dalam menguruskan lupus pemilihan kaedah rawatan dan mengubah suai gaya hidup perlu bergerak seiring bagi memastikan gejalanya dapat dikawal dengan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan