AM > BERITA

Kepesatan Teknologi Tuntut Pindaan Terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 - Gobind

31/07/2024 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dilaksanakan kerana kepesatan teknologi yang memerlukan masyarakat seiring menggunakan platform digital untuk tujuan perniagaan, namun pada masa sama mengharapkan perlindungan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata kerajaan perlu memperhalusi dan meneliti risiko akibat penggunaan platform digital agar data peribadi pengguna tidak disalah guna, meskipun sedar era digital sememangnya membawa banyak peluang khususnya ekonomi.

Gobind berkata pada tahun lepas, sebanyak 23 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbangkan sektor ekonomi digital dan angka itu dijangka meningkat kepada 25.5 peratus pada 2025. 

Beliau berkata dalam aspek pelaburan yang diluluskan pulaekonomi digital mencatatkan RM330 bilion pada tahun lepas, berbanding RM268 bilion pada tahun sebelumnya.

“Ini impak sebenarnya apa yang kita sebut sebagai ekonomi digital, ia mendatangkan manfaat yang cukup besar. Tetapi dalam masa yang sama saya mengaku bahawa sama-sama dengan peluang tersebut juga ada risikonya.

“Jadi dalam keadaan tersebut kerajaan perlu lihat kepada teknologi baharu dan kita memperuntukkan undang-undang untuk melindungi mereka yang menggunakan platform digital. Satu caranya adalah untuk kita menggubal undang-undang begini, yang kita mengambil langkah-langkah untuk melindungi data peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 di Dewan Negara hari ini.

RUU yang antaranya bertujuan menaikkan kadar denda daripada RM300,000 kepada RM1 juta bagi kesalahan dilakukan pengawal data atau pemproses data yang melanggar prinsip perlindungan data peribadi itu, diluluskan dengan lebih suara bersetuju setelah dibahaskan 21 Senator.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, Gobind berkata RUU berkenaan tidak melibatkan sebarang pindaan yang melibatkan pemakaian akta yang sama terhadap Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Beliau berkata ini kerana buat masa ini, terdapat akta dan peraturan lain yang mengawal selia pegawai-pegawai awam iaitu Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, sekiranya pegawai awam disabitkan dengan isu ketirisan semasa mengendalikan data.

Gobind berkata pihaknya melalui Jabatan Digital Negara (JDN) juga sedang membangunkan satu akta baharu mengenai perkongsian data dalam sektor awam, yang dijangka akan dibentangkan seawal-awalnya pada sesi akan datang.

“Elemen kawal selia perlindungan data peribadi turut dikaji dan diambil kira di dalam akta baharu ini,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan