AM > BERITA

Prudential Malaysia Raih Empat Kemenangan Di Anugerah Insurans Asia 2024

01/08/2024 08:42 AM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), atau secara kolektif dikenali sebagai Prudential Malaysia, meraih empat kemenangan di Anugerah Insurans Asia 2024.

PAMB diiktiraf sebagai Syarikat Insurans Hayat Antarabangsa Terbaik - Malaysia dan turut memenangi anugerah Inisiatif Rangkuman Insurans Terbaik - Malaysia.

PruBSN pula dianugerahkan Produk Insurans Takaful Baharu Terbaik - Malaysia bagi produk WarisanGold serta Perkongsian Strategik Terbaik - Malaysia bagi program PruBSN Mikrotakaful Jariyah (MTJ) yang melibatkan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengedaran PAMB Eric Wong berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam kecemerlangan perkhidmatan dan strategi inovatif untuk memenuhi evolusi keperluan rakyat Malaysia.

“Kami amat menghargai pengiktirafan yang diberikan Anugerah Insurans Asia. Ini bukan sekadar  bukti kepada dedikasi kami, tetapi juga menunjukkan kepercayaan yang diberikan oleh para pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kepercayaan mereka terhadap kami sebagai rakan yang dipercayai untuk melindungi masa depan mereka telah memacu semangat dan inovasi kami untuk terus berjaya,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN Teh Siew Peng berkata kejayaan itu melangkaui produk dan mencerminkan usaha syarikat untuk melebihi jangkaan di samping melaksanakan perubahan positif.

“Melalui strategi produk yang inovatif, kami memberi fokus kepada penghasilan impak yang lestari untuk memberikan manfaat kepada pelanggan serta menyumbang kepada komuniti,” katanya.

Menurut kenyataan sama, perjalanan PAMB untuk memenangi anugerah Syarikat Insurans Hayat Antarabangsa Terbaik - Malaysia bagi tahun kedua melibatkan beberapa siri inisiatif perintis.

“Prudential Malaysia sentiasa menghasilkan produk-produk luar biasa antaranya menyediakan solusi insurans inklusif seperti pelan penyakit kritikal khas untuk lelaki dan wanita yang pertama, PRUMan dan  PRULady, lanjutan kedua inisiatif EPF i-Lindung di samping memperkasakan perkhidmatan mesra pelanggan seperti PRUMy Child Plus,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Prudential Malaysia menerusi program PRUKasih Aman memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan kewangan kepada lebih 11,000 rakyat Malaysia melibatkan komuniti berpendapatan rendah dan hilang upaya.

Kenyataan itu menyebut PAMB telah membantu memberikan kestabilan kewangan menerusi tuntutan yang dibayar berjumlah RM1,672,650 setakat Disember 2023.

Dalam pada itu, kerjasama antara PruBSN Mikrotakaful Jariyah dan ICU JPM jelas mempamerkan komitmen PruBSN dalam memberikan impak kepada komuniti.

“MTJ menyediakan perlindungan hayat bertempoh setahun dengan jumlah perlindungan sebanyak RM10,000 bagi ketua isi rumah dalam komuniti B40 di bawah garis miskin dan miskin tegar. MTJ memberikan bantuan kewangan segera tanpa perlu melalui proses pengunderaitan atau pemeriksaan kesihatan.

“PruBSN menjadi perintis dalam negara, membentuk kerjasama strategik bersama pihak kerajaan demi merapatkan jurang antara keterjejasan dan jaminan kewangan serta memberikan akses terhadap perlindungan bagi semua lapisan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Anugerah-anugerah itu mengiktiraf usaha Prudential Malaysia dalam memperkasakan landskap insurans dan takaful melalui solusi yang memberi fokus kepada keperluan pelanggan serta inisiatif inklusif, sekali gus terus melindungi rakyat Malaysia melalui solusi kewangan dan pelan inovatif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan