AM > BERITA

KPKT Pulihkan 704 Projek Sakit Setakat Jun Ini

01/08/2024 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memulihkan 704 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFS) setakat Jun ini. 

Menterinya Nga Kor Ming berkata ia melibatkan pemulihan 82,101 unit rumah, dengan nilai pembangunan kasar RM58.94 bilion.

Beliau berkata KPKT akan terus mengambil tindakan penambahbaikan supaya dapat mengurangkan projek-projek yang bermasalah, seterusnya menyasarkan tiada lagi projek perumahan yang terbengkalai menjelang 2030.

"KPKT sedang memperhalusi Akta 118 untuk mengukuhkan tindakan kawalan yang lebih baik sebagai pencegahan awal serta tindakan jangka panjang bagi memastikan tiada lagi projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai, antaranya  menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi pemaju atau ahli lembaga pengarah yang disenarai hitam," katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara hari ini.

Nga berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah yang ingin tahu keberkesanan polisi dan undang-undang sedia ada dalam menangani isu bangunan tinggal dan projek terbengkalai, cadangan penambahbaikan dan kaedah kementerian menangani isu bangunan tinggal.

Beliau berkata KPKT juga akan menyediakan definisi dan peruntukan perundangan khusus bagi menjelaskan peranan dan tanggungjawab pembubar yang mengambil alih projek perumahan swasta terbengkalai secara terperinci.

Sementara itu, Nga berkata pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dapat memastikan hak pembeli dan pemaju sentiasa seimbang.

Bagi menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu jumlah permohonan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sepanjang 2023, beliau berkata 23,569 permohonan telah diluluskan tahun lepas, dengan nilai pinjaman berjumlah RM5.9 bilion, dan setakat Jun ini pula 57,752 permohonan pinjaman telah diluluskan.

Nga berkata pinjaman itu yang secara keseluruhanya bernilai RM12.78 bilion, telah diluluskan sepanjang pelaksanaan SJKP mulai tahun 2008.

"Kerajaan MADANI sentiasa fokus dan komited untuk melaksanakan dan menambah baik pelbagai inisiatif bagi memastikan setiap rakyat mempunyai akses terhadap perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan