AM > BERITA

Kemuka Cadangan Kreatif Menerusi Kempen Go Green With Taiwan Sebelum 31 Ogos

01/08/2024 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Syarikat dan pertubuhan Malaysia disaran menyerlahkan kreativiti dengan mengemukakan cadangan menerusi kempen global "Go Green With Taiwan" sebelum akhir bulan ini bagi berpeluang membawa pulang hadiah US$20,000.

Taiwan Trade Center dalam kenyataan hari ini memaklumkan kempen itu merupakan inisiatif global yang dianjurkan oleh Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Taiwan dan dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) untuk mempromosikan produk hijau inovatif dan penyelesaian dari negara itu.

Tarikh akhir penyerahan cadangan ialah pada 31 Ogos ini dan sejak kempen yang bertujuan menggalakkan industri hijau lestari dan kerjasama antarabangsa itu dilancarkan pada pertengahan Jun lepas, ia menerima sambutan yang amat menggalakkan.

"Peserta dikehendaki membangunkan cadangan ekonomi dan alam sekitar mampan yang menggabungkan produk dan penyelesaian hijau Taiwan.

"Pertandingan ini terbuka kepada ahli institusi penyelidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan awam, kolej dan universiti, syarikat dan pelajar kolej," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan cadangan akan dinilai berdasarkan empat ukuran utama iaitu kemampanan, kebolehlaksanaan, inovasi dan ketersambungan dengan enam pasukan akan dipilih menyertai pusingan akhir pada Disember, dan tiga cadangan terbaik masing-masing akan menerima hadiah wang tunai US$20,000. 

Industri hijau Taiwan mempunyai teknologi canggih, rangka kerja perisian dan perkakasan yang teguh, persekitaran penyelidikan dan pembangunan komprehensif dan bakat berkualiti tinggi.

"Taiwan telah membuktikan bahawa sebagai rakan kongsi yang amat diperlukan dalam usaha global bagi tenaga hijau dan pembangunan mampan.

"Malaysia pula telah lama berkembang dalam kepelbagaiannya dan banyak syarikat serta persatuan bertanyakan mengenai pertandingan ini dan memberi cadangan melibatkan penyelesaian mampan dalam pertanian, perlindungan alam sekitar, produk terbiodegradasikan, bangunan hijau dan sebagainya," menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi https://gogreen.taiwanexcellence.org/.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan