AM > BERITA

MCMC adakan rundingan awam, bangunkan garis panduan bagi penyedia perkhidmatan internet, media sosial

01/08/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengadakan rundingan awam bagi membangunkan garis panduan komprehensif, memperincikan keperluan etika dan tanggungjawab yang mesti dipatuhi semua pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan pemberi perkhidmatan media sosial. 

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan garis panduan itu akan dibangunkan dalam tempoh penangguhan (grace period) sebelum penguatkuasaan kerangka kawal selia bagi penyedia perkhidmatan berkenaan, bermula hari ini sehingga 31 Dis. 

“Antara lain, pemberi perkhidmatan dikehendaki untuk memperkenalkan langkah-langkah yang kukuh berkaitan perlindungan data pengguna, pengesahan umur untuk menghalang penggunaan platform yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan tersebut oleh pengguna di bawah umur 13 tahun, kaedah menangani kemudaratan dalam talian dan meningkatkan penyederhanaan kandungan.

“Selain itu, langkah-langkah untuk memudahkan prosedur aduan pengguna dan mengurangkan tempoh maklum balas serta langkah-langkah untuk menguruskan ‘deepfakes’ dan kandungan berbahaya yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI), juga perlu diberi penekanan oleh pemberi perkhidmatan tersebut,” katanya. 

MCMC memaklumkan kerangka kawal selia bagi perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial diwartakan hari ini dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Oleh itu semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan masyarakat sivil (CSO), badan bukan kerajaan (NGO), pemberi perkhidmatan dan orang awam dijemput untuk memberikan maklum balas apabila proses rundingan awam dimulakan. 

MCMC turut memaklumkan pengguna yang menggunakan perkhidmatan disediakan pemberi perkhidmatan berkenaan tidak akan terkesan dengan kerangka kawal selia dan hanya pemberi perkhidmatan sahaja dikehendaki mendapatkan lesen daripada MCMC sekiranya memenuhi kriteria pelesenan.

Sebagai contoh, pemberi perkhidmatan terlibat adalah Facebook, Facebook Messenger, Instagram, Telegram, TikTok, WeChat, WhatsApp, X dan YouTube. 

“Pengguna sebaliknya akan mendapat manfaat dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan pengalaman yang lebih baik hasil pematuhan terhadap undang-undang Malaysia secara proaktif oleh pemberi perkhidmatan.

“Pengguna boleh menjangkakan persekitaran dalam talian yang lebih selamat serta saluran aduan yang lebih jelas berkaitan kemudaratan dalam talian,” katanya. 

MCMC berkata langkah memperkenal kerangka kawal selia ini diambil untuk memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dan judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak. 

Suruhanjaya itu memaklumkan menerusi penguatkuasaan kerangka ini, semua pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan pemberi perkhidmatan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Mana-mana pemberi perkhidmatan yang beroperasi tanpa lesen selepas tempoh tersebut adalah melakukan suatu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil.

Maklumat terperinci dan butiran mengenai kerangka kawal selia ini boleh didapati di laman sesawang MCMC di https://www.mcmc.gov.my/.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan