AM > BERITA

PM Ucap Tahniah Atas Kejayaan Pearly Tan - M Thinaah Mara Ke Separuh Akhir Olimpik

01/08/2024 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Pearly Tan-M Thinaah kerana menjadi beregu badminton wanita pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri turut mendoakan kejayaan beregu ranking ke-12 dunia itu pada temasya Olimpik Paris 2024.

“Alhamdulillah, tahniah buat dua pejuang hebat cetus sejarah menjadi beregu wanita Malaysia pertama layak ke separuh akhir di Olimpik.

“Kekal tenang serta fokus dan semoga beroleh kejayaan!” katanya. 

Pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena, Pearly-Thinaah menewaskan Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan yang juga pasangan ranking ke-10 dunia dengan 21-12, 21-13.

Pearly-Thinaah akan bertemu beregu nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada pusingan separuh akhir nanti. 

Beregu negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016 apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan