AM > BERITA

Kerajaan setuju polis buka semula kertas siasatan kematian Teoh Beng Hock

01/08/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan terkait kematian mendiang Teoh Beng Hock, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau turut memberi jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak, khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes itu pada 5 Sept 2014.

"Saya mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan daripada pihak keluarga. Saya telah lama mengikuti rapat kes ini dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga yang telah sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang.

"Saya nyatakan pendirian kerajaan yang bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan terkait kematian mendiang Beng Hock," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini. 

Terdahulu, Anwar bertemu dengan ahli keluarga Teoh di Putrajaya termasuk ibu bapa mendiang, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee, selain anak mendiang Teoh Er Jia dan adik mendiang Teoh Lee Lan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 29 Okt untuk menyampaikan keputusan permohonan keluarga Teoh bagi semakan kehakiman berhubung kematian mendiang.

Mendiang Teoh ditemukan maut pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan