AM > BERITA

Keputusan, Arahan MCMC Kepada Penyedia Perkhidmatan Dilesenkan Tertakluk Undang-undang

01/08/2024 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Keputusan atau arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dilesenkan tertakluk kepada proses undang-undang serta tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. 

Menurut soalan lazim di laman sesawang MCMC hari ini, keputusan atau arahan suruhanjaya itu adalah tertakluk kepada proses serta prosedur yang diperuntuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Di bawah akta itu, terdapat perlindungan kukuh untuk mengimbangi keperluan kawal selia, proses undang-undang yang sewajarnya dan perlindungan ke atas kebebasan bersuara.

“Bagaimanapun, pengeluaran arahan ini tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya dan mesti mematuhi proses undang-undang yang sewajarnya,” menurut suruhanjaya itu.

Suruhanjaya itu turut memaklumkan sekiranya mana-mana penyedia perkhidmatan terkesan dengan keputusan atau arahan MCMC, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan yang ditubuh di bawah Akta 588 dan selanjutnya merujuk kepada semakan kehakiman.

Selain itu, MCMC boleh mengambil tindakan merangkumi amaran pentadbiran, pengeluaran arahan pematuhan untuk membetulkan pelanggaran, mengenakan penalti sivil atau pengkompaunan kesalahan sekiranya penyedia perkhidmatan berlesen melanggar syarat lesen dan/atau keperluan tatalaku.

“MCMC akan mempertimbang keseriusan pelanggaran, impak serta kekerapan dan rekod pematuhan penyedia perkhidmatan yang dimaksudkan dalam memutuskan tindakan yang bersesuaian terhadap mereka.

“Dalam kes pelanggaran lebih berat, MCMC boleh menyekat capaian kepada platform penyedia perkhidmatan tersebut, membatalkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) atau memulakan pendakwaan,” menurut suruhanjaya itu. 

MCMC turut memaklumkan terdapat beberapa pemegang lesen di bawah Akta 588 yang merayu kepada Tribunal Rayuan mengenai pelbagai isu sejak 2020. 

Menurut MCMC, kerangka kawal selia itu telah ditanda aras dan selari dengan amalan global terbaik serta perkembangan di negara yang telah memperkenal kaedah kawal selia domestik ke atas perkhidmatan dalam talian termasuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Antaranya Singapura, Indonesia, India, Australia, United Kingdom, Ireland, Jerman dan Kesatuan Eropah.

“Walaupun pendekatan berbeza digunakan dalam kaedah mengawal selia perkhidmatan dalam talian di negara-negara dan rantau lain, terdapat persamaan yang utama dari segi pelaksanaannya.

“Antara lain, terdapat kesepakatan dalam mencegah kandungan mudarat serta memastikan perkhidmatan dalam talian mempunyai tanggungjawab untuk melindungi pengguna mereka,” katanya. 

MCMC memaklumkan aspek yang turut ditanda aras ialah perlindungan ke atas data pengguna, langkah-langkah keselamatan kanak-kanak, memerangi gangguan dalam talian dan buli siber, penggunaan data pengguna untuk tujuan pengiklanan secara beretika serta pemerkasaan pengguna.

Pada 27 Julai lepas, MCMC memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen ASP (C) di bawah Akta 588.

Langkah itu akan dikuat kuasa pada 1 Jan 2025 susulan pengenalan kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial hari ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan