AM > BERITA

Bekas ADUN Sungai Puyu Dirawat Di Hospital Akibat Serangan Jantung

02/08/2024 01:12 PM

BUTTERWORTH, 2 Ogos (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Datuk Seri Phee Boon Poh sedang dirawat di hospital kerana serangan jantung.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkara itu disampaikan kepadanya oleh anak perempuan Phee, ADUN Sungai Puyu sekarang, Phee Syn Tze.

“Saya terima mesej yang memaklumkan kira-kira 11.45 malam semalam, Boon Poh terjatuh dan pada masa itu sebabnya tidak diketahui lalu terus dihantar ke hospital.

“Pakar-pakar di hospital sedang berusaha mencari sebab berlaku serangan jantung. Saya juga dimaklumkan beliau telah sedar pada pagi ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di Dewan Konvensyen Seberang Perai (SP) Arena, Seberang Jaya dekat sini hari ini.

Chow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang meminta ahli parti memberi ruang kepada Phee memandangkan kini bukan masa yang sesuai untuk melawat beliau, selain terus mendoakan kesihatan ahli politik veteran parti berusia 72 tahun itu.

Phee merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang dan memegang jawatan ADUN selama empat penggal sebelum bersara pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan