AM > BERITA

Lebih 300 Tukang Jahit, Penggiat Fesyen Dari 14 Negara Berkumpul Di FAMT 2024, KL

02/08/2024 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Lebih 300 tukang jahit mahir, pereka serta peminat fesyen dari 14 negara di Asia dan Eropah berkumpul di bandar raya ini bagi menghadiri Persidangan Perikatan Industri Penjahitan Asia ke-28 (FAMT 2024) anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Tukang Jahit Malaysia.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin berkata kongres itu yang berlangsung hingga 6 Ogos ini, bertujuan mempamerkan kemahiran dan bakat individu selain menggalakkan pertukaran ilmu antara profesional industri dari pelbagai negara.

Beliau berkata industri jahitan seperti industri lain bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pasaran buruh negara tetapi juga kepada sejarah industri dan warisan budaya.

"Saya percaya kebanyakan pemain dalam industri ini ialah usahawan berdikari atau mewarisi perniagaan daripada nenek moyang mereka dan pastinya, dengan kisah cabaran dan pengalaman tersendiri.

"Kisah dan pengalaman ini menjadi pengajaran berguna atau bahan rujukan kepada generasi lebih muda terutamanya mereka yang bercita-cita memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka sendiri," katanya dalam ucapannya ketika melancarkan FAMT 2024, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Tukang Jahit Malaysia Sam Ng.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis, Yeoh mencadangkan kepada persekutuan itu supaya merealisasikan Hab Fesyen dan Reka Bentuk sebagai usaha kolaborasi antara kerajaan dan profesional jahitan dari negara-negara Asia.

"Jika hab ini berjaya diwujudkan, bermakna kita telah mencipta platform perniagaan yang besar untuk mengembangkan pasaran dan meningkatkan keterlihatan industri jahitan, fesyen dan reka bentuk negara," katanya.

Bagi maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi Persekutuan Persatuan-Persatuan Tukang Jahit Malaysia di https://fedtailorsguildsmy.com atau laman media sosial persekutuan itu di Facebook dan Instragram.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan