AM > BERITA

Petani Mada Tidak Perlu Bimbang, Air Cukup Musim Ini, Seterusnya

02/08/2024 03:57 PM

ALOR SETAR, 2 Ogos (Bernama) -- Petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tidak perlu bimbang dengan pengairan air ke kawasan tanaman bagi musim ini dan musim 2/2004. 

Pengurus Besar MADA Kamarudin Dahuli berkata takungan semasa di tiga empangan kendalian lembaga itu masih mampu menampung keperluan untuk pertanian berdasarkan simulasi yang telah dibuat.

“Mungkin ada kerisauan pesawah-pesawah tetapi insya-Allah kita boleh bekalkan air bagi tujuan pengairan. Daripada simulasi dibuat dan berdasarkan rekod 20 tahun lepas, kita akan dapat bekalkan air untuk tujuan pengairan tanaman padi musim 1/2024 dengan sempurna.

“Malah dengan peratus takungan itu, kita juga sudah buat simulasi bahawa kalau sekiranya hujan tiada sehingga habis musim ini, kita masih lagi boleh bekalkan air bagi musim 2/2024 dengan takungan itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Sesi Lawatan Kerja Lapangan Banci Pertanian 2024 oleh Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di Kubang Rotan, di sini hari ini.

Sementara itu, Kamarudin berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama MADA dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) turut membantu meningkatkan jumlah takungan di empangan.

“Daripada tiga hari OPA dibuat, didapati dua hari iaitu pada 30 dan 31 Julai berlaku hujan di empangan yang sedikit sebanyak membantu meningkatkan takungan air.

“Di Empangan Pedu ketika ini terdapat lebih 40 peratus jumlah takungan semasa yang dapat memastikan pembekalan sumber itu tidak akan terjejas,” katanya.

Tambah beliau, MADA akan berbincang dengan NADMA dan LSANK sekiranya terdapat keperluan untuk melaksanakan lagi OPA di kawasan empangan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan