AM > BERITA

Pelajar Politeknik Juara 'Adobe Certified Professional World Championship 2024'

02/08/2024 04:58 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Pelajar Politeknik Muadzam Shah, Pahang, menempa nama di peringkat antarabangsa apabila berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan ‘Adobe Certified Professional  World Championship 2024’, yang diadakan di California, Amerika Syarikat.

Izzul Zafran Abd Razak, pelajar semester 5 Diploma Rekabentuk Grafik, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual itu menewaskan 47 peserta daripada 40 negara untuk membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai US$8,000 (RM36,170), sijil, medal dan trofi kemenangan.

Beliau menghasilkan poster bertajuk ‘Digital Skills for A Sustainable Future’ menggunakan aplikasi Adobe Creative Cloud dalam kejohanan dunia itu yang telah berlangsung pada 28 hingga 31 Julai lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud ketika ditemui Bernama berkata pihak kementerian akan memberikan penghargaan bersesuaian kepada Izzul Zafran sebagai menghargai usahanya mengharumkan nama negara.

“Saya fikir ini satu pencapaian yang amat baik dari segi akademik dan kita akan cuba cari kaedah bagaimana pelajar ini boleh berkongsi pengalaman untuk dijadikan sumber inspirasi kepada pelajar lain.

"Saya akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan kita akan mengumumkan penghargaan kepada pelajar ini,” katanya.

Beliau berkata kejayaan Izzul Zafran wajar menjadi contoh kepada pelajar lain untuk meningkatkan prestasi masing-masing dan mengharumkan nama negara terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasionnal (TVET).

Pertandingan tahunan itu terbuka kepada pelajar berusia 13 hingga 22 tahun di seluruh dunia bagi membuktikan kemahiran dan kecekapan mereka menggunakan perisian Adobe Creative Cloud dalam mereka bentuk poster.

Panel juri yang terdiri daripada pakar industri reka bentuk termasuk The King's Trust International akan menyemak projek akhir peserta dan pemenang dipilih berdasarkan daya tarikan visual, keupayaan memenuhi keperluan pelanggan dan estetika jenama serta penggunaan profesional aplikasi berkenaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan