AM > BERITA

Agoda Tonjolkan Destinasi Ikonik Malaysia Sempena Hari Kebangsaan

02/08/2024 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Malaysia seharusnya berbangga meraikan sambutan kali ini, apabila data tempahan terkini Agoda, platform pelancongan digital mendedahkan bahawa Kuala Lumpur menduduki tempat kelima dalam senarai destinasi antarabangsa paling popular bagi enam bulan pertama 2024.

Kuala Lumpur berada di belakang Tokyo, Bangkok, Osaka, dan Seoul.

Penilaian penginapan ini menonjolkan daya tarikan Tokyo sebagai destinasi utama pengembara, menggabungkan kemodenan dan tradisi yang menarik dengan pelbagai latar pengunjung.

Bangkok yang terkenal dengan kemeriahan kehidupan jalanan serta mercu tanda budaya, menduduki tempat kedua, manakala keunikan hidangan kulinari dan tapak sejarah di Osaka meletakkannya di tempat ketiga.

Seoul dan Kuala Lumpur, yang dikenali dengan keunikan pengalaman budaya dan tarikan bandarnya, melengkapkan ranking lima destinasi teratas.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden Kanan Bekalan Agoda Andrew Smith dipetik berkata bahawa populariti bandar-bandar Asia ini menonjolkan tarikan unik tersendiri kepada pelbagai pengembara.

“Setiap destinasi menawarkan gabungan pengalaman unik yang memenuhi kehendak pengembara pelbagai latar belakang, dan di Agoda, kami menyediakan tawaran bernilai hebat untuk destinasi-destinasi terbaik ini dan banyak lagi, sekali gus membantu pelancong meneroka dunia dengan kos lebih rendah," katanya.

Sementara itu, menumpukan perhatian kepada Malaysia, kenyataan itu memaklumkan bahawa tarikan Malaysia kepada pelancong antarabangsa tidak terhad pada ibu negaranya sahaja, apabila Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, dan Melaka ditonjolkan oleh Agoda sebagai destinasi domestik utama untuk pelancong antarabangsa.

Oleh itu, dalam meraikan penarafan Malaysia sempena sambutan hari Kebangsaan ini, Agoda mempamerkan 'keindahan' Malaysia di seluruh negara, dengan setiap destinasi terbaik menawarkan kisah kejayaan, warisan, keindahan alam semula jadi, serta pemandangan yang menakjubkan."

"Yang pertama dalam senarai adalah Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur, sebuah bangunan pencakar langit setinggi 118 tingkat yang berdiri megah pada ketinggian 678.9 meter, menjadikannya bangunan kedua tertinggi di dunia.

“Spire-nya (bahagian paling tinggi) mencapai 700.9 meter di atas paras laut, menjadikan ia bangunan yang tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara, serta pemandangan dari dek observasinya berhampiran Stadium Merdeka memperlihatkan panorama indah”.

Seterusnya adalah Gunung Ledang atau Mount Ophir di Johor, yang mempunyai ketinggian 1,276 meter, menjadikannya puncak tertinggi di negeri itu.

Gunung Ledang terkenal dengan pemandangan yang menakjubkan dan legenda Puteri Gunung Ledang, yang menarik pengunjung serta memberi inspirasi kepada filem 'Puteri Gunung Ledang',"

"Di utara, Bukit Bendera yang merupakan sebahagian daripada Rizab Biosfera Bukit Bendera Penang (PHBR) yang diiktiraf oleh UNESCO dan Rangkaian Biosfera Dunia ketiga Malaysia, menawarkan keindahan alam semula jadi serta daya tarikan sejarah.

"Kemudian ialah Gunung Kinabalu, yang menjulang setinggi 4,095 meter, menjadikannya puncak tertinggi di Malaysia dan puncak pulau ketiga tertinggi di dunia. Terletak di Taman Kinabalu, sebuah tapak Warisan Dunia UNESCO, gunung ini terkenal dengan kepelbagaian biologi yang kaya dan pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan."

"Terakhir ialah Menara Taming Sari di Melaka dengan ketinggian 110 meter, menyediakan pemandangan panorama bandar 360 darjah, termasuk tapak Warisan Dunia UNESCO. Dinamakan sempena keris mitos Taming Sari, dek observasinya yang berputar menawarkan pemandangan udara yang menakjubkan,”

Dalam meraikan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti, Agoda menjemput pelancong untuk meneroka keindahan destinasi ikonik ini, yang mempamerkan warisan dan keindahan alam Malaysia.

Platform Agoda menawarkan lebih daripada 4.5 juta penginapan untuk bercuti, 130,000 laluan penerbangan, dan 300,000 aktiviti sekali gus memberi tawaran bernilai hebat dan pengalaman tempahan yang lancar dan efisien.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan