AM > BERITA

Alibaba.com, IOC Jalin Kerjasama Dorong Atlet Ke Arah Keusahawanan

02/08/2024 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Platform terkemuka untuk e-dagang perniagaan ke perniagaan (B2B) global, Alibaba.com menjalinkan kerjasama dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi menyokong atlet dengan peluang dwikerjaya dan peralihan kerjaya kepada usahawan.

Alibaba.com dalam kenyataan menyebut pengumuman berhubung platform berkenaan sebagai rakan kongsi e-dagang Olimpik dan Paralimpik pertama di seluruh dunia untuk menyertai edisi keempat program Athlete365 Business Accelerator akan dibuat pada acara pelancaran di Paris hari ini.

“Program Athlete365 Business Accelerator ialah inkubator perniagaan yang bertujuan melengkapkan atlet profesional semasa dan bekas atlet dengan kemahiran diperlukan untuk mencipta dan mengurus perniagaan mereka sendiri,” menurut kenyataan itu.

Melalui program itu, Alibaba.com menyasarkan matlamat untuk memperkasakan lebih 1,000 atlet global dan bekas atlet dengan latihan.

Di samping itu, Alibaba.com akan menawarkan 50 calon berpotensi dengan pakej Pemecut Perniagaan  bernilai US$10,000, yang akan menyediakan gabungan latihan logistik, operasi dan penyumberan serta kredit untuk membantu calon membuka peluang pertumbuhan jangka panjang mampan.

“Alibaba.com menghubungkan pembeli dengan pembekal dari lebih 200 negara dan wilayah, sekali gus menawarkan perkhidmatan inovatif dan alatan perniagaan yang dipacu teknologi untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Senario ini memudahkan perdagangan global untuk pembeli dan penjual, menawarkan peluang kepada semua bakal usahawan termasuk para atlet untuk mencipta kejayaan dalam perniagaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut data baharu daripada Alibaba.com, hampir dua pertiga atau 63 peratus daripada bekas atlet bergelut untuk mencari kerjaya baharu selepas sukan meskipun 76 peratus daripada bekas atlet berpendapat mereka mempunyai kemahiran boleh pindah yang relevan untuk perniagaan, manakala hanya 52 peratus kini menjalankan perniagaan sendiri.

Sebagai rakan kongsi pertama menyertai program itu, Alibaba.com akan mewujudkan skim latihan berbilang fasa berfokuskan e-dagang dan perdagangan global yang direka khusus untuk membina pengetahuan peserta tentang bidang kritikal perniagaan seperti penggunaan alat kecerdesan buatan (AI), penyumberan global dan eksport B2B melalui pasaran digital.

Presiden Alibaba.com Kuo Zhang berkata platform itu telah menyaksikan ramai individu tanpa latar belakang perniagaan menjadi PKS yang sangat berjaya dengan menggunakan perkhidmatan dan alatan Alibaba.com.

“Para atlet terkenal dengan keberanian, keazaman dan pemikiran positif mereka dalam sukan membawa ciri-ciri penting yang sama ini ke dalam dunia perniagaan. Fokus dan daya tahan mereka memberikan kelebihan kepada mereka sebagai usahawan,” katanya dalam kenyataan sama.

Pengarah Jabatan Atlet di IOC Kaveh Mehrabi pula melahirkan rasa teruja untuk membawa Alibaba.com sebagai rakan kongsi program Athlete365 Business Accelerator oleh IOC.

Beliau berkata dengan melengkapkan atlet dengan latihan dan kemahiran bersesuaian melalui program bimbingan dan alatan digital Alibaba.com, ia akan memberikan semangat diperlukan kepada atlet dan usahawan Olimpik yang bercita-cita memulakan perniagaan mereka sendiri.

“Inisiatif ini berfungsi sebagai bukti kukuh terhadap komitmen bersama kami untuk membina kepakaran rakan kongsi terulung kami bagi memperkasakan atlet untuk membina kerjaya kedua yang berjaya," katanya.

Bagi membantu merapatkan jurang antara sukan dengan perdagangan, Alibaba.com akan menawarkan  para peserta peluang bimbingan program Business Accelerator dengan eksekutif kanan dan pasukan global Alibaba.com dan juga bersama-sama Duta Global Alibaba.com yang kesemuanya telah berjaya beralih daripada sukan kepada keusahawanan.

Duta Global Alibaba.com terdiri daripada atlet Olimpik dua kali Tony Parker, penunggang basikal gunung profesional Elias Schwärzler dan bekas pemain tenis profesional Simona Galik Moore.

Seperti Tony, Elias dan Simona yang semuanya menggunakan Alibaba.com dalam perniagaan masing-masing, PKS di seluruh dunia boleh meraih manfaat daripada tawaran unik Alibaba.com itu.

-- BERNAMA 

 

Penafian: Ini ialah artikel advertorial berbayar. Bernama tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel berkenaan.


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan