AM > BERITA

Lebih 1,600 Projek Aktif Libatkan Kos RM72.6 Bilion Dilaksanakan Tahun Ini

02/08/2024 08:31 PM

KUALA KRAI, 2 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 1,687 projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) meliputi infrastruktur jalan raya, jambatan dan bangunan seperti sekolah daif dilaksanakan tahun ini melibatkan kos sebanyak RM72.6 bilion. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata hingga Julai lepas, 87 projek sudah disiapkan meliputi 34 projek infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, 42 binaan bangunan dan 11 lain-lain projek.

"Kerajaan sentiasa komited untuk menyiapkan semua projek yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat," katanya selepas melakukan tinjauan projek penggantian Jambatan Sungai Durian di Jalan Persekutuan FT008 di sini hari ini.

Beliau berkata bagi negeri Kelantan, 88 projek masih dalam pembinaan membabitkan kos RM7.9 bilion  meliputi 38 projek bangunan dan selebihnya projek melibatkan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan.

"Kebanyakan projek ini dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan dengan tempoh pembinaan setiap projek antara 24 hingga 36 bulan, bergantung kepada jenis projek yang dilaksanakan,” katanya.

Nanta berkata pihaknya sentiasa memantau dengan rapi projek-projek berkenaan supaya tidak berlaku sebarang kelewatan atau masalah yang boleh menganggu tempoh untuk projek berkenaan siap sepenuhnya.

Mengenai projek penggantian Jambatan Sungai Durian, Nanta berkata kemajuan fizikal projek itu hingga 15 Julai lepas adalah 39 peratus dengan kos kontrak semasa bernilai RM16 juta dan dijangka siap pada Julai tahun depan.

"Tujuan penggantian jambatan ini adalah bagi mengatasi masalah lalu lintas di laluan utama dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur berikutan jambatan sedia ada, sempit dan telah uzur. Projek ini juga dapat mengatasi masalah jalan terputus yang sering berlaku di jambatan sedia ada yang rendah semasa musim banjir," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan